“Arwah bapa orang warak” – Gitaris tahun 90-an dedah tak pernah dapat restu main muzik

Oleh MALAYSIADATELINE

Ibu bapa pastinya mahu anak-anak mereka menceburi bidang pekerjaan yang menjamin masa depan dan pastinya menjadi anak seni bukanlah satu benda boleh dibanggakan pada tahun 90-an.

Meskipun sudah 40 tahun menjadi anak seni selepas menjadi pemain gitar buat kumpulan Iklim, Umarul Mahdzar Embong mendedahkan bahawa dia tidak pernah mendapat restu Allahyarham bapanya, Embong Long.

Jelasnya bapanya juga tidak pernah bangga meskipun mencapai kejayaan dan populariti pada awal 90-an dulu lapor Harian Metro.

“Ini rahsia yang saya simpan. Dia tak bangga walaupun saya berjaya sebagai pemuzik.

“Sebab itu saya tak pernah aktif yang berlebih-lebih dalam muzik dan banyak menolak juga dalam permainan muzik.

“Dia tak pernah restu sampai akhir hayat saya,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Dalam pada itu, Umarul berkongsi pesan bapanya sebelum dia meninggal dunia untuk tinggalkan kerjayanya sebagai anak seni.

“Dia orang alim. Dia dikenali di Kampung Ladang Tok Pelam, Kuala Terengganu sebagai orang warak.

“Dia nak saya teruskan pengajian di luar negara. Adik-beradik saya semua belajar di luar negara,” tambahnya.

Pada masa sama, Umarul memaklumkan dia akan memberi fokus untuk menjadi pelukis pula.

“Saya memang aktif dengan lukisan cat minyak. Alhamdulillah sambutan yang diterima sangat memuaskan.

“Kalau ikutkan saya dah berpuas hati dengan royalti yang diperoleh menerusi hasil karya muzik selama ini,” kongsinya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Umarul mengesahkan pembubaran Iklim seperti diumumkan ketua kumpulan, Mohalim pada 25 Februari lalu.

Baca juga: Ibu tunggal raih ratusan ribu ringgit jahit baju mewah tapi harga marhaen