Sebanyak 13 akaun dengan simpanan berjumlah RM9.33 juta disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Difahamkan, semua akaun tersebut disita selepas empat individu yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Malaysia ke-9 itu ditahan susulan SPRM mengambil keterangan pemimpin terbabit buat kali pertama pada 11 Februari lalu.
Menurut makluman daripada sumber, akaun-akaun yang disita itu adalah milik individu termasuklah empat orang kini berada di dalam tahanan SPRM untuk siasatan lanjut, lapor Berita Harian.
Dalam perkembangan berkaitan, pihak SPRM juga tidak menolak kemungkinan untuk merakam percakapan Ahli Parlimen Bera terbabit selepas cuti sakitnya (MC) dijangka berakhir esok.
Usaha agensi itu untuk mengambil keterangan dari Ismail Sabri bagaimanapun masih bergantung kepada tahap kesihatannya dan kebenaran daripada pihak doktor yang merawat pemimpin berkenaan.
“Dalam temu bual dengan doktor di sebuah pusat perubatan di Petaling Jaya, baru-baru ini juga tidak dapat mengesahkan sama ada beliau cergas untuk diambil keterangan.
“Tetapi usaha akan dilakukan SPRM sekiranya Ismail Sabri disahkan sihat,” kata sumber berhubung tahap kesihatan pemimpin berkenaan susulan jatuh sakit baru-baru ini memetik laporan Berita Harian.
Terdahulu, pegawai penyiasat SPRM mengambil keterangan Ismail Sabri kira-kira dalam tempoh lima jam sehari selepas pemimpin itu membuat pengisytiharan harta pada 10 Februari lalu.
Beberapa hari kemudian, empat individu termasuk dua bekas pegawai kanan Ismail Sabri pula ditahan oleh pihak SPRM untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.
Penahanan itu membawa kepada serbuan di tiga premis sebelum wang tunai pelbagai negara berjumlah RM170 juta dan 16 jongkong emas bernilai RM7 juta ditemukan di sebuah kondominium yang didakwa sebagai ‘safehouse‘.
Dalam sidang media pada Isnin lalu, pihak SPRM turut mengesahkan bahawa Ismail Sabri bukan lagi saksi dalam siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram itu sebaliknya seorang suspek dalam kes tersebut.
Baca juga: Anggap hadiah istimewa, Nora Danish berjaya khatam Al-Quran dalam masa 10 hari