Betul ke sidai baju waktu malam mudah kena sihir? Ini penjelasan Dr Zulkifli Al-Bakri

Oleh WAN SITI AMINAH

Pembaca pasti pernah terdengar orang-orang tua selalu berpesan untuk tidak menjemur pakaian di waktu malam dengan alasan mudah terdedah kepada gangguan mistik seperti sihir.

Meskipun dakwaan itu tidak terbukti, namun perasaan khuatir tetap juga akan timbul khususnya bagi masyarakat Melayu yang begitu sinonim dengan kepercayaan mistik.

Permasalahan ini bagaimanapun pernah diulas oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Al-Bakri yang tampil memberi penjelasan tentang dakwaan tersebut dari sudut agama Islam.

Menurutnya, sememangnya tidak dinafikan bahawa umat Islam telah disunatkan untuk menghalang anak-anak kecil untuk keluar pada malam hari bermula daripada waktu Maghrib.

Selain itu, umat Islam juga dinasihatkan untuk menutup pintu-pintu, tingkap-tingkap, bekas-bekas air dan seumpamanya, di samping menyebut nama Allah ketika menutupnya.

Suruhan tersebut sudah termasuk di dalam adab-adab Islam yang sahih kerana dikhuatiri mereka atau anak-anak kecik ini akan terkesan dengan kejahatan syaitan atau disakiti oleh makhluk tersebut.

Hal ini dipercayai berpunca daripada banyaknya makhluk halus atau syaitan yang mula berkeliaran untuk membuat onar dan menganggu manusia pada masa tersebut (waktu Maghrib).

Walau bagaimanapun, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu memaklumkan bahawa rutin menyidai pakaian di waktu malam sebenarnya tiada kaitan langsung dengan amalan disunatkan tersebut.

Sebaliknya, ia hanyalah sekadar ‘cerita’ yang disebarkan orang tua di mana tiada dalil yang menyokong atau mengesahkan bahawa rutin menjemur baju di waktu malam akan mendedahkan kita kepada sihir.

Oleh kerana tiada bukti atau dalil yang mengesahkan dakwaan itu, maka rutin menjemur dan membasuh baju di waktu malam akan kembali kepada hukum asal iaitu harus.

Hal ini bermakna, masyarakat Islam diharuskan untuk menyidai pakaian basah pada waktu malam sebagaimana diharuskan untuk menyidainya pada waktu siang seperti kebiasaannya.

“Kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan agar seseorang Muslim itu memelihara hubungannya dengan Allah sebaik mungkin.

“Terus menjaga solat, zikir-zikir, amalan-amalan tertentu yang diajarkan oleh Rasulullah SAW melalui hadith-hadith yang sahih dan seumpamanya.

“Dengan melakukan amalan-amalan soleh, kita akan tetap terpelihara daripada gangguan syaitan, sihir dan seumpamanya,” katanya.

Penjelasan tersebut dibuat oleh Zulkifli menerusi artikel Adab & Akhlak: Soal Jawab Agama yang dimuat naik menerusi portal di atas talian miliknya iaitu maktabahalbakri.com.

Baca juga: “Packaging macam beli dekat kedai eco” – Netizen kritik peniaga jual kek moist harga RM39