Tular isu seorang lelaki yang menumbuk pelajar berusia 17 tahun hingga cedera dalam satu kejadian di Saujana Impian, Kajang baru-baru ini.
Sebelum ini media melaporkan pelaku adalah seorang penasihat agensi pelancongan, bimbang akan reputasi, pihak Atlis Holidays Sdn Bhd tampil menjawab spekulasi.
Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial, agensi pelancongan tersebut menafikan dakwaan pihak mereka melantiknya seperti yang tertera di Facebook pelaku.
“Pihak Atlis Holidays Sdn Bhd dengan ini mengeluarkan kenyataan secara rasmi bahawa pihak syarikat tidak pernah melantik pelaku tersebut sebagai Penasihat Syariah Syarikat kami seperti mana yang dipaparkan oleh pelaku di butiran profil media sosial Facebook beliau.
“Untuk makluman, pelaku tersebut hanya bertugas sebagai Mutawif secara freelance dengan syarikat kami.
“Pihak kami telah membuat laporan polis untuk melindungi perniagaan kami dan tindakan pelaku tersebut yang memuat naik butiran profil Facebook yang mengelirukan masyarakat umum.
“Pihak kami juga membuat hebahan ini secara rasmi untuk menjelaskan bahawa pihak syarikat tidak mempunyai sebarang kaitan. dan atau tanggungjawab dan atau liabiliti terhadap tindakan peribadi pelaku tersebut. Akhlak pelaku tidak mewakili keseluruhan syarikat,” ujar kenyataan tersebut.
Syarikat tersebut juga nekad memberhentikan mutawif itu serta merta dan menjelaskan pihak mereka akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka masih dikaitkan dengan pelaku.
“Tugas beliau sebagai Mutawif di berhentikan serta merta. Kami berharap penerangan yang diberikan ini dapat menjelaskan posisi syarikat kami dalam situasi yang sedang berlaku.
“Semoga isu yang sedang berlaku antara pelaku dan mangsa dapat diselesaikan dengan seadilnya oleh pihak berkuasa.
“Kami juga menegaskan bahawa pihak syarikat tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya terdapat komen-komen atau hantaran-hantaran berbaur ancaman, ugutan atau fitnah yang dilemparkan ke atas syarikat kami berikutan tindakan peribadi pelaku tersebut,” tegasnya.