Restoran jadi ‘port’ ponteng puasa, sedia pakej makan tengah hari RM320 sebulan

Oleh MALAYSIADATELINE

Sebuah kedai makan menyediakan pakej berharga RM320 sebulan kepada para pelanggan yang mahu menikmati makanan tengah hari di premis berkenaan termasuklah di sepanjang bulan Ramadan.

Tawaran tersebut menjadi salah satu punca kedai makan terletak di kawasan Pasar Borong Pandan, Johor Bahru itu dijadikan sebagai ‘port’ ponteng puasa bagi mereka yang beragama Islam.

Sebagai langkah pemantauan dan hasil maklumat awam, restoran milik warga tempatan itu kemudian diserbu oleh penguat kuasa daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), semalam.

Ketika serbuan, beberapa lelaki warga asing dipercayai beragama Islam bertempiaran lari melalui pintu belakang premis manakala mereka yang tidak sedar dengan kehadiran pihak berkuasa dilihat asyik makan dan minum secara terbuka.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, kedai makan berkenaan adalah lokasi yang ketiga diserbu pihaknya hari itu, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun melalui dua serbuan awal, tiada tangkapan dilakukan manakala di lokasi terakhir pula ramai warga asing beragama Islam ditahan ketika sedang asyik menjamu selera.

“Ketika serbuan, ada yang tengah menyuap makanan, ada yang menghirup minuman secara terbuka. Ini perbuatan yang tidak menghormati kesucian agama Islam khususnya di bulan Ramadan.

“Walaupun bukan orang tempatan, selagi mereka beragama Islam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah itu terpakai juga untuk mereka bagi dikenakan tindakan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Mohd Fared menjelaskan bahawa mereka yang ditahan dalam serbuan tersebut akan diberikan notis untuk dipannggil semula ke Bahagian Penguatkuasaan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

Sekiranya didapati bersalah mereka boleh dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 atau dikenakan hukuman penjara maksimum dalam tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali.

“Kita juga akan minta pihak JAINJ bersama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) membuat semakan secara menyeluruh sekiranya terdapat peniaga yang seakan menggalakkan orang Islam makan secara terbuka.

“Jika mereka tak jual, tak ada yang beli. Begitu juga dengan pemilik premis ini, kita akan panggil untuk disiasat, bagaimana perkara ini boleh dibenarkan. Kesalnya.

Baca juga: Hanya ‘freelancer’, agensi pelancongan tamatkan Khidmat mutawif lelaki tumbuk pelajar