Data mendedahkan, golongan paling aktif yang menggunakan skim Beli Sekarang, Bayar Kemudian (BNPL) adalah individu berusia antara 21 hingga 45 tahun, dengan pendapatan bulanan kurang RM5,000.
Pendedahan angka ini adalah sesuatu mengejutkan kerana ia merekodkan peningkatan mendadak dalam penggunaan skim itu.
Biarpun rakyat Malaysia menganggap BNPL banyak membantu, namun perunding pemasaran digital sebuah syarikat swasta, Muhamad Rakib Ansari memberi amaran skim itu berpotensi bertukar menjadi perangkap hutang tersembunyi.
Muhamad Rakib menasihatkan semua pengguna untuk mengukur baju di badan sendiri dan menghentikan perbelanjaan tidak perlu.
“Disebabkan saya selalu membuat bayaran dalam tempoh yang diberikan, saya anggap skim ini banyak membantu dalam kehidupan.
“Namun kita perlu ukur baju di badan sendiri kerana skim ini boleh menjadi masalah jika tidak digunakan dengan bijak, contohnya bayaran balik BNPL itu kadangkala mengenakan cas yang melampau,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Pada 11 Mac lalu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan melaporkan jumlah transaksi skim pengguna BNPL meningkat ketara pada separuh kedua 2024 kepada RM7.1 bilion berbanding RM4.9 bilion dalam separuh pertama 2024 serta 12 syarikat menawarkan perkhidmatan itu pada masa ini.
Amir Hamzah berkata kadar penggunaan BNPL di Malaysia yang kian meningkat juga menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keberhutangan isi rumah biarpun peningkatan transaksinya masih terkawal.
Baca juga: Dikritik sebab ‘berkemban’ dalam muzik video raya, Mimi Fly mohon maaf