Jofliam didakwa bakal tamatkan zaman duda April ini, hari lahir Dewi jadi tarikh ijab kabul?

Oleh MALAYSIADATELINE

Usahawan dan pempengaruh sensasi, Jofliam didakwa bakal menamatkan zaman dudanya pada bulan April ini bersama wanita pilihan iaitu Dewi yang juga merupakan bekas pembantu peribadinya.

Dakwaan tersebut mula timbul selepas tularnya sekeping gambar memaparkan kad jemputan majlis perkahwinan Jofliam bersama Dewi atau nama sebenarnya, Emira Delyati Dewi di platform media sosial.

Berdasarkan gambar yang tersebar di aplikasi Thread itu, tertera maklumat ringkas mengenai majlis dijangka bakal berlangsung di sebuah kawasan perumahan di Taman Melawati, Ampang, Selangor pada 5 April depan.

Menerusi hantaran tersebut, pemilik akaun Thread yang memuat naik gambar berkenaan mengakui bahawa kad jemputan perkahwinan itu datang daripada sumber yang boleh dipercayai.

“Majlis Ijab dan Qabul, Jofliam dan Dewi pada 5 April 2025, dari pukul 10 pagi sehingga 2 petang,” tulis maklumat di dalam kad jemputan berwarna putih yang dihiasi dengan corak bunga-bungaan ringkas itu.

Sumber turut memaklumkan bahawa majlis perkahwinan tersebut akan diadakan pada tarikh yang sama dengan hari ulang tahun kelahiran bakal pengantin perempuan iaitu Dewi.

Perkongsian itu berjaya mengundang perbincangan hangat di media sosial dengan rata-rata pengguna sudah dapat menjangka bahawa pasangan berkenaan bakal mendirikan perkahwinan.

Ramai juga pengguna tampil mempersoalkan tindakan usahawan terbabit menggunakan identiti bapanya iaitu Jofliam dalam kad jemputan perkahwinan sedangkan nama sebenarnya adalah Suhaimi.

“Masuk pertandingan Pizza dahulu pun pakai nama bapa berserta datuk. Sampaikan hari ijab dan qabul pun tak pakai nama sendiri. Lawaklah hang ini,” kata seorang pengguna.

“Jofliam itu ayah dia kan. Dia yang nak berkahwin. Kenapa tak tulis nama sendiri sahaja. Boleh jatuh fitnah.” Kesal pengguna lain yang merasa hairan dengan tindakan pempengaruh berkenaan.

Terdahulu, Jofliam menggemparkan media sosial pada tahun lalu apabila mendedahkan pergolakan rumah tangga bersama bekas isterinya iaitu Cik Epal selepas dituduh berlaku curang dengan pembantu peribadi ketika pergi bercuti di Jepun bersama beberapa pekerjanya.

Pemilik perniagaan pizza itu juga tidak pasti dengan status perkahwinannya sendiri selain mendakwa dirinya mungkin bukan lagi bergelar suami kepada Cik Epal atau nama sebenarnya Murni Mahmud yang juga merupakan seorang pempengaruh.

Jofliam bagaimanapun dihujani kecaman netizen selepas tularnya gambar dan foto mesra ahli perniagaan terbabit dengan pembantu peribadinya iaitu Dewi yang dikatakan masih berstatus isteri orang ketika itu.

Walaupun Jofliam menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa dirinya mempunyai hubungan istimewa dengan wanita itu, namun kecaman tidak berhenti ekoran orang ramai berpendapat bahawa perbuatannya tetap salah.

Cik Epal pada bulan Oktober tahun lalu kemudian mengeluarkan kenyataan mengesahkan bahawa rumah tangganya bersama Jofliam sudah berakhir selepas 10 tahun melayari bahtera perkahwinan bersama.

Sekadar info, Jofliam dan Cik Epal melangsungkan perkahwinan pada 1 Jun 2014 dan hasil perkongsian hidup bersama, mereka dikurniakan dengan sepasang cahaya mata iaitu Han serta Yuki. 

Baca juga: Didakwa sudah berkahwin dengan DJ Kidd, Emma Maembong akhirnya buka mulut