Kadang-kadang anak tidak sedar pengorbanan yang dilakukan ibu bapa mereka semasa kecil, bila dah besar baru terbuka mata.
Kalau lihat pada keluarga yang susah, si ibu sanggup melakukan apa sahaja agar anak itu tidak kelaparan biarpun dia tak makan dua tiga hari.
Seorang wanita berkongsi mengenai sikap lepas tangan si ayah sehingga tidak sedar membebankan ibunya.
Di bawah adalah luahan yang diambil dari media sosial.
Aku tergerak nak cerita kisah mak aku seorang suri rumah sepenuh masa sejak mak aku kahwin dengan ayah aku.
Mak aku dah berusia 60-an dan memang suri rumah sejak mula kahwin dengan ayah aku. Ayah aku seorang bekas pekerja swasta dalam bidang perbankan, jadi dia hanya ada simpanan KWSP, tak ada pencen bulanan.
Apa yang aku cerita ni adalah berdasarkan apa yang mak aku cerita dan berdasarkan pemerhatian aku sendiri sebagai seorang anak bongsu yang lama duduk dengan mak ayah.
Pertama sekali, mak aku ni seorang yang bijak walaupun tak pernah bekerja. Ni ayah aku memang akui sebab mak aku ni ada ingatan yang kuat dan bijak urus kewangan keluarga.
Ayah aku kerja seorang untuk tanggung kami enam beranak jadi memang urusan rumah tangga ayah aku serah bulat-bulat dekat mak aku untuk urus termasuklah urus pembayaran bil-bil rumah.
Mak aku mengadu kat aku bab kewangan ni masa aku dah kerja ni yang buat aku sedih. Mak aku cakap masa kami kecil kami susah tapi aku tak ingat aku susah.
Makan kepala ikan sahaja
Bila ayah bagi duit belanja dapur, mak aku yang atur apa nak beli. Rupanya mak aku banyak berkorban demi anak-anak.
Mak aku cerita dulu mak aku hanya makan kepala ikan, isi dia bagi aku makan sebelum ke sekolah. Mak aku suap aku makan sebelum pergi sekolah sampai darjah 3.
Patutlah sampai sekarang kalau mak aku makan dia hanya ambil kepala ikan dengan isi sikit masa makan walaupun sekarang anak-anak dah besar mampu je makan yang sedap.
Sekarang ni, bila anak-anak dah besar lain pula ujian mak. Ayah aku lepas bersara banyak habiskan duit untuk parti politik dan aktiviti masjid.
Kalau mak aku minta duit, ayah aku suruh minta kat anak-anak. Ayah aku dengan orang dia suka sedekah, tapi dengan mak aku dia jadi berkira.
Mak aku memang mengadu pasal ni kat aku, anak perempuan dia. Aku bagi je duit belanja kat mak aku tapi mak aku sedih sebab dia nak duit belanja dari suami dia, ayah aku tapi ayah aku banyak sedekah kat orang luar daripada isteri sendiri.
Padahal ayah aku mampu je nak bagi apa mak aku makan sebab anak-anak semua dah kerja tapi ayah aku lebihkan sedekah kepada orang luar dan masjid.
Bagi aku tak patut la sebab kalau nak ikutkan sampai ayah meninggaI, mak aku masih hormat dia sebagai suami.
Kalau mak aku suruh belikan ubat pun, ayah aku minta duit kat mak aku. Mak aku cakap dia tak kerja mana ada duit, yang ada pun duit anak-anak bagi untuk belanja dapur juga.
Bila mak aku mengadu, aku jadi serba salah. Memang aku tinggal dengan mak ayah aku, tiap-tiap bulan aku belanjakan lebih kurang RM1,000 untuk belanja rumah tapi masih tak cukup.
Aku pun ada komitmen sendiri walaupun aku bujang, aku sampai tak ada simpanan sekarang lebih-lebih lagi pasca pandemik ni pendapatan aku dah berkurangan 30 peratus.
Ayah aku pula memang suruh mak aku jadi suri rumah je sebab ayah nak mak aku urus dia dan anak-anak.
Mak aku cakap dia terasa beban sebab semua urusan rumah dia buat dari memasak, mengemas satu rumah termasuk pergi pejabat post untuk bayar bil-bil.
Zaman dulu jalan kaki pergi pejabat pos
Bab bayar bil-bil ni mak aku mengadu sebab kami kecil dulu mana ada online banking, Ayah aku suruh mak aku pergi jalan kaki, pergi pejabat pos yang jaraknya lebih kurang 1 kilometer dari rumah.
Masa tu abang-abang aku masih kecil tak boleh tinggal sendiri kat rumah jadi terpaksa bawa semua bersama.
Alasan ayah aku sebab dia kerja tak ada masa nak pergi beratur bayar. Ayah aku ingat mak aku duduk rumah banyak dan tak penat.
Sekarang bila masing-masing dah usia warga emas pun, ayah aku masih layan mak aku macam mak aku masih muda untuk buat kerja rumah.
Ayah aku suka mengarah sebab dia cakap dia sakit lutut dan ada sakit asma tak boleh buat kerja banyak.
Tapi pergi masjid lima kali sehari dan urus hal-hal masjid boleh pula. Contoh; kalau ada paip bocor kat masjid cepat je ayah aku uruskan, tapi bila kat rumah pili bocor ayah aku cakap dia tak larat nak buat.
Aku pun perempuan mana la aku reti nak buat dengan aku pun kerja jugak. Ayah aku hanya buat apa yang dia rasa nak buat, selebihnya dia akan bergantung kat mak aku.
Kononnya sebab mak aku tak ada sakit macam dia. Banyak lagi kisah duka seorang surirumah sepenuh masa lebih-lebih lagi meniti usia senja ni.
Aku bujang lagi tapi bila aku tengok rumahtangga mak ayah aku, aku rasa tak mampu nak berumah tangga kalau inilah rumah tangga yang dianggap biasa.
Baca juga: Cucu sedih nenek kena palau anak-anak hanya sebab nak kahwin lain