Warganet setuju ‘Bidaah’ drama Melayu pertama dapat perhatian rakyat Indonesia

Oleh KIM SYAZIE

Drama bersiri ‘Bidaah’ terus menjadi topik perbincangan hangat negara jiran biarpun drama itu menerima banyak komen yang kurang senang dari rakyat Malaysia sendiri.

Rakyat Indonesia melihat drama terbitan Erma Fatima sangat dekat dengan realiti kehidupan sebenar.

Mereka memuat naik perbincangan di sosial media, memberi rating tertinggi kepada drama itu.

Disebabkan populariti Bidaah, drama ‘Keluarga Itu’ pula menjadi sorotan netizen Indonesia untuk menonton lebih banyak drama bersiri dari negara ini.

“Karena series-nya Walid udah tamat, jadi mari kita rate series Bidaah ini, seru ga?,” ciap seorang pengguna X.

“Tidak ku sangka series Malaysia ini popular di Indonesia. Jangan lupa nonton series ‘keluarga itu’ still going on. Rakyat Malaysia emosi terbakar-bakar setiap hari. Rating 8.5/10,” tulis pengguna lain.

Berikutan penerimaan luar biasa yang ditunjukkan, pengguna media sosial menganggap drama Bidaah ini adalah antara drama Melayu paling berjaya kerana mendapat sambutan memberangsangkan di negara jiran.

“Tak pernah dengar lagi ada drama Melayu yang berjaya memikat hati penonton Indonesia. Mungkin ini yang pertama?,” tulis @SaufyJauhary.

Ia turut disokong pengguna lain, mengatakan bahawa isu yang diketengahkan dalam drama berkenaan sangat dekat dengan masyarakat Indonesia.

“Sebab relate dgn isu dekat sana. Dengan kewujudan gus, habib, kiyai palsu tu yang dapat sambutan. Relate dengan masalah sebenar. Sebenarnya kita dah tolong suarakan masalah mereka secara tak langsung,” kata @encikmimpizz.

‘Bidaah’ ditayangkan menerusi platform penstriman Viu Malaysia pada 6 Mac lepas dan diarahkan oleh Pali Yahya serta diterbitkan produksi Rumah Karya Citra milik Erma Fatima.

Drama berkenaan berkisarkan kehidupan pengamal ajaran sesat, Walid yang telah tersebar di sebuah perkampungan dengan mengakui merupakan jelmaan Imam Mahdi kepada para pengikutnya.

Baca juga: Pakar sahkan Zayn Rayyan dijerut, bukan mati lemas