Zaman sekarang ramai terpedaya dengan skim pengubahan wang haram hingga sanggup bayar berjuta ringgit agar nama dibersihkan.
Lebih mengejutkan ada ahli perniagaan yang bergelar ‘Tan Sri’ sanggup mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain.
Menurut Berita Harian, ahli perniagaan tersebut ditahan selepas pulang dari Osaka, Jepun pada 29 Mac lalu.
Lelaki berusia 59 tahun itu mendakwa dirinya mampu menyelesaikan kes jenayah pengubahan wang haram berkait skim pelaburan ponzi, MBI International Group (MBI) di negara jiran.
Ketua Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali, berkata perkara itu terbongkar selepas beberapa tangkapan awal.
Tangkapan itu dilakukan menerusi Operasi Northern Star (Op Northern Star) antara 21 Mac hingga 5 April lalu.
“Apabila kita menahan semua suspek berkenaan, mereka terkejut dan mempersoalkan alasan penahanan dan mendakwa sudah membayar sejumlah wang bagi menutup kes berkenaan.
“Kita mengarahkan mereka membuat laporan polis dan mendapati individu bergelar Tan Sri berkenaan mendakwa boleh menyelesaikan kes dan meminta bayaran RM25 juta,” katanya seperti dipetik Berita Harian.
Hasil siasatan mendapati suspek menerima bayaran sebanyak RM10 juta dan kesemua wang tersebut berjaya dirampas semula.
Wang itu kononnya untuk diserahkan kepada polis bagi menyelesaikan kes berkaitan pengubahan wang haram.
Baca juga: Ben Amir kena ‘sumpahan Siargao’, jual hampir semua aset untuk pindah ke pulau di Filipina