Empat kereta ini paling ramai anak muda beli tapi paling banyak dibiarkan tersadai

Oleh KIM SYAZIE

Sebuah syarikat yang membeli kenderaan terpakai mendedahkan terdapat empat jenis kereta yang paling banyak dibiarkan tersadai di kawasan perumahan atau di tepi jalan.

Tiga daripadanya daripada automatif tempatan iaitu Proton Saga, Proton Wira dan Perodua Kancil. Manakala satu lagi kenderaan adalah jenis KIA.

Pengarah syarikat RKV Resources, K Umadevi berkata, kesemua kenderaan itu rosak teruk dan memerlukan modal besar untuk dibaiki.

“Pembelian akan dibuat berdasarkan beberapa penilaian, antaranya ketersediaan alat ganti dan jenama kereta.

“Purata keuntungan yang syarikat peroleh daripada setiap kereta buruk ialah sekitar RM150 hingga RM200. Ia bergantung kepada rundingan bersama penjual atau pemilik kereta,” katanya menurut Sinar Harian.

Umadevi berkata, caj pengangkutan dan harga lebihan merupakan cabaran perlu dihadapinya ketika membuat rundingan.

“Ini memerlukan kesabaran yang tinggi kerana setiap pemilik atau penjual tidak sama. Masing-masing ada pendapat mereka sendiri,” katanya.

Tambah beliau, kereta yang akan dilupuskan akan menjalani beberapa proses iaitu bermula dengan meleraikannya sebelum mengasingkan mengikut kategori bahan serta memotongnya kepada beberapa bahagian.

Baca juga: ‘Tan sri’ ditahan, dakwa diri mampu selesaikan kes jenayah pengubahan wang haram jika dibayar RM25 juta