Penceramah bebas, PU Syed buat kesekian kalinya menegur secara terbuka Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ekoran tular video beliau berkaraoke di sebuah majlis baru-baru ini.
PU Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak berkata, teguran kali ini mungkin teguran yang terakhir dibuat untuk pemimpin-pemimpin Islam dalam parti itu.
Katanya, adalah lebih baik sekiranya Sanusi berhenti dari menyanyi di tempat awam dan fokus kepada urusan-urusan menjaga kebajikan rakyat.
“Walaupun menyanyi (Sanusi) orang lelaki tak ada masalah. Tapi dia menjadi masalah bila mana ia dinyanyikan oleh pemimpin.
“Apatah lagi Datuk Seri adalah pemimpin dikenali sebagai panglima perang PN. Orang besar. Jawatankuasa Pas pusat. Saya ahli biasa je memang tak layak saya nak menegur.
“Apa yang saya nak sebut, nak berkaraoke buatlah sendiri-sendiri dalam rumah. Tak payah tunjuk kepada masyarakat. Saya minta Datuk Seri tak usahlah menyanyi dah. Tumpukan kepada urusan rakyat,” katanya dalam satu video dimuat naik di TikTok.
Pada masa sama, PU Syed memohon agar Dewan Ulama Pas tidak berdiam diri dan menegur kelakuan Sanusi yang dianggap tidak sesuai untuk tontonan umum.
“Kepada Dewan Ulama Pas. Berbunyi lah. Bercakaplah. Tegurlah walaupun dia seorang menteri besar.
“Orang-orang bangsawan ini kita perlu tegur dia. Kadang-kadang mereka tergelincir. Kita kena tegur.
“Bagi kami asatizah yang tidak ada apa-apa, ini nasihat kami. Datuk Seri tinggalkan benda-benda lagha macam ni. Tak perlulah menyanyi atas pentas. Tumpukanlah amal baik, baca Al-Quran untuk kita tonjolkan kepada rakyat,” katanya lagi.
Baca juga: “Baru kahwin suami menjerit rasa macam lipas merayap, dia tak tahu itu bulu badan aku”