Tindakan usahawan dan pempengaruh media sosial yang dikenali sebagai Kieda Crepe bertemu secara empat mata bersama pelanggannya selepas diberikan ulasan negatif nampaknya tidak disambut baik oleh orang ramai.
Mana tidaknya, usahawan terbabit dikatakan seperti tidak mahu menerima teguran berhubung makanan jualannya malah juga memalukan pelanggan yang memberi komen negatif dengan mendedahkan identiti mereka di media sosial.
Isu ini sememangnya hangat diperbincangkan di platform media sosial sebelum seorang wanita tampil memberikan teguran selain menyifatkan tindakan Kieda sebagai perbuatan yang melampau untuk dilakukan oleh peniaga.
Menerusi satu perkongsian di platform TikTok, wanita itu memberi saranan kepada Kieda untuk menjaga tingkah laku sebagai peniaga dan lebih berhati-hati memberikan respons kepada kritikan yang dilontarkan oleh pelanggan.
“Kieda Crepe, awak semakin rancak ya. Pertama kali saya nak cakap, awak patut bersyukur kerana masih ada yang menyokong awak. Awak jangan terlalu melebih pula. Ini peringatan daripada saya sebagai seorang yang melihat anda terbabit dalam pelbagai isu.
“Tetapi cara awak itu sudah melebih. Jadi sementara ada yang masih menyokong awak, mohon sentiasa menjaga tingkah laku dan kata-kata. Jangan sampai nanti apa yang awak buat, terkena balik kepada diri sendiri,” katanya dalam perkongsian tersebut.
Dalam perkongsian berikutnya, pemilik nama sebenar Siti Nur Khalieda Yusra itu juga diminta berhenti mengugut mereka yang memberi komen negatif dengan tuntutan saman sekaligus menormalisasikan budaya membuli pelanggan.
Terdahulu, seorang pelanggan memberikan ulasan jujur selepas memakan crepe dijual Kieda dengan mengatakan makanan tersebut tidak sedap dan tidak berbaloi untuk dibeli jika dibandingkan dengan harga ditawarkan.
Ulasan yang dibuat pelanggan melalui status Whatsapp peribadi itu bagaimanapun sampai kepada pengetahuan Kieda sebelum usahawan terbabit mengadakan pertemuan empat mata dengan wanita berkenaan.
Kieda mendakwa ulasan yang dibuat oleh pelanggan itu telah memberikan kesan negatif kepada imej syarikatnya sebelum memulangkan semula wang dibelanjakan oleh wanita terbabit untuk membeli pencuci mulutnya.