Video tular murid hisap vape rupanya dirakam di surau, pihak sekolah akan ambil tindakan

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman yang agak mengejutkan memaparkan sekumpulan pelajar masih dengan pakaian seragam sekolah sedang asyik menghisap ‘vape’ ataupun rokok eletronik di satu lokasi tidak didedahkan.

Menerusi rakaman berkenaan, kelihatan beberapa orang pelajar tanpa segan silu menghisap rokok elektronik itu secara bergilir-gilir dengan menggunakan satu peranti yang sama sebelum dimasukkan ke dalam beg sekolah.

Pihak sekolah kemudian tampil mengeluarkan kenyataan susulan penularan rakaman itu memandangkan seragam pelajar jelas terlihat di dalam video dengan mengatakan mereka memandang serius kesalahan menghisap vape.

Menerusi satu perkongsian di platform Facebook, pihak sekolah menengah yang terletak di Batu Caves, Selangor itu memaklumkan bahawa video tersebut dirakamkan di kawasan bersebelahan bangunan mereka iaitu di surau.

Mereka juga memberi jaminan akan mengambil tindakan disiplin sewajarnya kepada pelajar yang telibat di dalam rakaman tersebut tanpa melanggar sebarang garis panduan telah ditetapkan.

“Pihak sekolah memandang serius kesalahan menghisap vape yang berlaku di kawasan surau bersebelahan, baru-baru ini. Surau merupakan tempat suci untuk beribadah dan harus dihormati oleh semua warga sekolah.

“Tindakan pelajar bukan sahaja mencemarkan kesucian rumah Allah, tetapi juga melanggar peraturan sekolah serta undang-undang yang berkaitan. Sehubungan itu, pihak kami akan mengambil tindakan disiplin.

“Namun sewajarnya terhadap pelajar yang terlibat dengan mengikut garis panduan telah ditetapkan. Pihak sekolah juga akan mempertingkat pemantauan dan menjalankan program kesedaran,” katanya.

Tindakan sedemikian diambil untuk memastikan kejadian serupa tidak berulang lagi dan pelajar juga diseru untuk sentiasa menjaga adab dan mematuhi peraturan demi kebaikan bersama.

Terdahulu, rakaman tersebut mengundang perbincangan hangat di laman media sosial dengan rata-rata pengguna meluahkan kekesalan ekoran sikap pelajar semakin berani melanggar peraturan meskipun di bawah umur.

Ramai juga pengguna mempersoalkan peranan ibu bapa mereka dalam mendidik anak di rumah untuk mematuhi peraturan selain bertanya bagaimanakah pelajar sekolah mendapatkan akses kepada rokok elektronik berkenaan.

Baca juga: Dari remaja gigih sertai peraduan, lelaki bersyukur dapat merasa banyak hadiah mewah termasuk duit RM28k