Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik secara rasmi hari ini sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu bagi penggal 2025-2029.
Perlantikan dibuat selepas ahli Dewan Negara itu menang tanpa bertanding dalam Mesyuarat Agung Tahunan ke-80 BAM yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur hari ini.
Pengumuman dibuat secara rasmi selepas Tengku Zafrul menerima sokongan sebulat suara daripada semua ahli majlis sekali gus menggantikan tempat Tan Sri Mohamad Norza Zakaria selaku presiden badan induk berkenaan.
Tan Sri Norza sebelum ini melepaskan jawatannya pada tahun lalu selepas hampir sedekad menerajui BAM untuk memberikan fokus kepada tugasnya sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), lapor Harian Metro.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul yang juga tokoh korporat terkemuka negara itu menyifatkan pelantikan ini sebagai satu penghormatan besar dan amanah untuk digalas dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi.
“Saya terlebih dahulu ingin menzahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT atas pelantikan ini, dan mengucapkan terima kasih kepada semua ahli Majlis BAM atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepada saya untuk memimpin BAM sebagai presiden baharu.
“Ia satu penghormatan besar dan amanah yang saya galas dengan penuh tanggungjawab, dedikasi dan komitmen. Saya percaya dengan kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan, kita mampu memperkasa BAM sebagai badan sukan contoh.
“Bukan sahaja di Malaysia. Tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya yang turut mengucapkan penghargaan kepada Pemangku Presiden sebelum ini iaitu Datuk V Subramaniam memetik laporan Harian Metro.
Tengku Zafrul juga memohon diberikan tempoh 100 hari untuk mendengar, memahami dan meneliti setiap isu secara menyeluruh sebelum mengumumkan pelan tindakan strategik dalam membawa BAM ke era baharu.
Hal ini kerana beliau percaya pelan yang komprehensif dan realistik adalah kunci kepada kejayaan perancangan jangka panjang dalam memastikan badan sukan tersebut mendapat hala tuju lebih jelas.
“Berikan saya 100 hari untuk bertemu semua pihak berkepentingan seperti pemain, jurulatih dan pegawai bagi mengadakan sesi libat urus menyeluruh. Saya perlukan masa untuk memahami dan meneliti dengan mendalam isu-isu yang dihadapi.
“Saya percaya, kunci kepada perancangan jangka panjang yang berjaya ialah pelan yang komprehensif dan realistik. Selepas 100 hari, insya-Allah saya akan bentangkan visi strategik serta pelan tindakan untuk BAM kerana setiap badan sukan memerlukan hala tuju yang jelas,” jelasnya.
Pemimpin itu juga menyeru sokongan padu daripada semua pihak termasuk kerajaan, agensi berkaitan, ibu bapa, komuniti badminton serta rakan media supaya terus menyokong kepimpinan baharu BAM.
Tengku Zafrul turut menyampaikan penghargaan kepada timbalannya dan tidak ketinggalkan bekas presiden iaitu Tan Sri Norza atas sumbangan tidak ternilainya kepada pembangunan badminton negara.
“Ucapan tahniah juga saya ucapkan kepada Subramaniam atas pelantikan semula beliau sebagai Timbalan Presiden 1 dan Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos Janarthanan sebagai Timbalan Presiden 2.
“Bukan mudah untuk membawa BAM ke tahap sekarang, namun kehadiran ramai tokoh berwibawa hari ini memberi gambaran jelas bahawa kita semua berkongsi visi yang sama untuk melihat badminton Malaysia cemerlang di persada dunia.” Ujarnya.
Baca juga: Netizen Indonesia kata Malaysia tempat terbaik untuk sambung pengajian