Meskipun ada kaedah untuk merancang kelahiran anak namun ada kebanyakan keluarga tidak mengambil endah kerana menganggap cahaya mata adalah satu bentuk rezeki.
Namun ia dilihat tidak adil apabila kebajikan anak-anak tidak terjaga malah makanan terpaksa dihadkan kerana kekurangan wang menyebabkan ramai kurang nutrisi.
Disebabkan itu, Datuk Bandar Makassar, Munafri Arifuddin memberi teguran tegas terutamanya kepada mereka daripada golongan berpendapatan rendah.
Beliau mengharapkan para ibu bapa lebih bertanggungjawab dan bijak dalam merancang saiz keluarga masing-masing, terutamanya dari segi jumlah anak lapor portal Kompas.
Kenyataan tersebut dikeluarkan semasa lawatan di satu kediaman seorang pelajar penerima biasiswa Sekolah Rakyat, Nayla, yang terletak di Jalan Pandang 4, Kelurahan Pandang, Kecamatan Panakukang, Makassar, Sulawesi Selatan.
“Saya sudah tegaskan, kalau si bapa atau si ibu masih bekerja secara tidak tetap, pendapatan pun belum cukup untuk menampung keperluan keluarga sebulan.
“Tolong jangan asyik tambah anak. Gunakan kaedah perancang keluarga,” kata Munafri seperti dipetik portal Kompas.
Pada masa sama Munafri meluahkan rasa bimbang apabila kebanyakan keluarga miskin memiliki anak ramai meskipun pendapatan mereka terhad.
“Bayangkan, pendapatan hanya sejuta rupiah sebulan (RM285), tapi anak lima orang. Bagaimana mahu cukupkan makanan, pakaian dan keperluan nutrisi mereka?
“Inilah realiti yang kita perlu ubah,” tegasnya.
Di samping itu, beliau mengingatkan tentang kejujuran dalam proses pemilihan penerima bantuan.
Tegasnya, setuao pelajar yang diterima ke Sekolah Rakyat perlau datang daripada keluarga miskin dan bukannya hasil manipulasi data.
“Jangan tipu dalam pengisian data. Jangan pula sampai sanggup ‘memiskinkan’ rumah sendiri demi dapat bantuan.
“Bantuan ini untuk yang benar-benar memerlukan,” kongsinya.