Mamat Sepah mohon maaf isu video tular, ini respon Syamsul Debat – “Kita borak okay aje”

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu sedutan rakaman memaparkan pelawak, Mamat Sepah ditegur oleh penceramah bebas iaitu Syamsul Debat dalam sebuah sesi audio siar ataupun ‘podcast’.

Dalam rakaman tersebut, Mamat dilihat dengan selamba bertindak memotong kata-kata Syamsul Debat sambil tertawa ketika penceramah terbabit sedang berkongsikan kisah mengenai kerjayanya.

Syamsul atau nama sebenarnya, Syamsul Amri Ismail kemudian mengambil keputusan untuk menegur sikap pelawak terbabit selain menyifatkan tindakannya sebagai kurang cerdik.

Rakaman itu telah mengundang perbincangan hangat di media sosial yang mana rata-rata pengguna meluahkan perasaan kurang senang selain berpendapat bahawa pelawak terbabit tidak beradab dengan tetamu.

Perkara ini mendorong pemilik nama sebenar Mohd. Noor Murad itu berkongsikan tangkap layar perbualan bersama Syamsul sekali gus membuktikan bahawa tiada masalah di antara mereka sebenarnya.

Berdasarkan tangkap layar dikongsikan di Instagram Story itu, Mamat dilihat menghantar satu pautan laporan media berhubung isu tersebut sebelum memohon maaf kepada penceramah berkenaan.

“Salam Ustaz, popular kita hari ini. Saya minta maaf dekat Ustaz. Disebabkan saya, tular pula isu Ustaz dengan saya di media sosial. Lagi sekali, saya memohon maaf sangat-sangat,” kata Mamat dalam perbualan itu.

Penceramah terbabit kemudian memberi maklum balas kepada permohonan maaf itu dengan mengatakan isu berkenaan bukanlah perkara besar malah tiada masalah di antara mereka.

Menurut Syamsul, perkara tersebut sengaja diperbesarkan sedangkan tiada masalah yang timbul sewaktu sesi audio siar dirakamkan bahkan perbualan antara mereka dapat diteruskan dengan baik setelah teguran dibuat.

“Tak adalah, bukan apa pun. Mereka sengaja nak heboh-hebohkan. Kita berborak hari itu ‘okay’ (baik-baik) sahaja,” balas Syamsul Debat kepada permohonan maaf yang dibuat oleh Mamat.

Pesanan di aplikasi Whatsapp antara Mamat dan Syamsul Debat.

Terdahulu, Syamsul Debat hadir sebagai tetamu jemputan dalam satu program audio siar dikendalikan oleh Mamat bersama penyampai radio iaitu Fizie yang disiarkan menerusi platform Youtube.

Syamsul kemudian menegur Mamat selepas pelawak itu memotong kata-katanya ketika sedang berkongsi kisah mengenai kerjayanya dengan menyifatkan tindakannya sebagai kurang cerdik.

“Tak cerdiknya dia ini, geram betul. Daripada tadi aku menahannya,” kata Syamsul di dalam nada berseloroh namun kedengaran tegas menerusi sedutan video yang tular di media sosial itu.

Baca juga: Pelik hari-hari tengok pakcik ini beli 20 ketul ayam bungkus dalam plastik merah