Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan pada akhir Mac 2025 yang berkurangan kepada RM21.9 bilion, berbanding RM26.4 bilion pada akhir Mac 2024, memberi isyarat positif terhadap tahap kesihatan ekonomi negara.
Pakar Ekonomi dan Kewangan, Prof Datuk Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, angka terkini yang diterbitkan Kementerian Kewangan itu membuktikan bahawa ekonomi masih berfungsi dan menjana hasil, walaupun berdepan cabaran global seperti ketidaktentuan geopolitik dan kadar faedah yang tinggi.
Namun, beliau mengingatkan bahawa pemulihan ekonomi perlu dilihat dalam dimensi yang lebih luas di mana penurunan defisit fiskal tidak serta-merta bermakna semua sektor rakyat merasai pemulihan.
“Jadi, walaupun angka ini menafikan dakwaan bahawa ekonomi sedang “tenat”, ia tidak menafikan bahawa masih ada tekanan kos sara hidup dan ketidaksamaan pendapatan yang perlu ditangani,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.
Mengulas prestasi fiskal yang positif, Nik Maheran yang juga Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (AMK) itu mengakui ia mencerminkan tahap disiplin kerajaan dalam menguruskan kewangan negara.
“Angka-angka ini menunjukkan ada usaha dan disiplin fiskal oleh kerajaan.
“Mengurangkan defisit fiskal menandakan kawalan terhadap perbelanjaan dan keberkesanan kutipan hasil, sama ada melalui peningkatan pematuhan cukai atau pertumbuhan aktiviti ekonomi formal,” ujarnya lagi.
Manfaat terus kepada Rakyat
Beliau turut menjelaskan beberapa manfaat yang bakal dinikmati rakyat sekiranya trend pengukuhan ekonomi ini berterusan.
“Jika trend ini berterusan, manfaat kepada rakyat termasuklah kestabilan ekonomi jangka panjang disebabkan pengurangan beban hutang negara.
“Dengan defisit berkurang, lebih dana boleh disalurkan ke sektor penting seperti kesihatan, pendidikan, dan perlindungan sosial,” katanya.
Tambah beliau, perkembangan ini juga boleh membantu menarik pelaburan asing dan domestik yang seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan ekonomi.
“Pengurusan fiskal yang baik menyumbang kepada kestabilan harga, yang memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat dan mengawal inflasi,” jelas beliau lagi.
Baca juga: Polis siasat dakwaan ada mangsa lain babitkan kiriman mesej tak senonoh CEO Batu