Alangkah kecewanya seorang pemandu teksi ini apabila mendapati ramai pelajar universiti yang sedang berjuang menuntut ilmu tergamak menipunya hanya kerana tidak mahu membayar caj tambang kenderaannya.
Pemandu berusia itu mengakui langsung tidak keberatan untuk membantu sekiranya pelajar terlibat sememangnya mengalami masalah kewangan namun mereka harusnya berlaku jujur bukannya malah melakukan penipuan.
Menurutnya, pelajar-pelajar ini akan meminta kod respon pantas (QR) daripada pemandu konon untuk melunaskan bayaran tambang yang ditetapkan secara di atas talian melalui pemindahan ke akaun bank.
Namun sayangnya selepas diperiksa, bayaran yang konon dibuat oleh pelajar berkenaan tidak masuk dalam akaun miliknya membuktikan aksi mereka ketika mengimbas kod QR diberinya adalah lakonan semata-mata.
Luahan kekecewaan itu dikongsikan oleh pemandu teksi tersebut dalam bahasa Cina kepada penumpangnya yang berbangsa Melayu sebelum diceritakan semula menerusi satu perkongsian dimuat naik di platform TikTok.
Berdasarkan rakaman berdurasi 25 saat itu, dapat dilihat penumpang terbabit memiliki kebolehan untuk bertutur dalam bahasa Cina bersama pemandu teksi berkenaan ketika luahan berkenaan dibuat.
“Pada hari kejadian, saya rasa malas sangat nak tempah dan menunggu kenderaan e-hailing. Jadi saya putuskan untuk naik teksi daripada stesen hentian Transit Aliran Ringan (LRT) ke rumah.
“Kasihan pula ‘uncle’ (pemandu teksi) ini bercerita asyik kena tipu dengan pelajar universiti. Berlakon konon imbas kod QR tetapi sebenarnya tak bayar pun. Uncle tak kisah sebenarnya kalau pelajar jujur tiada duit bayar tambang.
“Berapalah sangat Uncle ini dapat dengan adanya servis macam e-hailing lain. Tetapi Uncle merasa sangat kecewa mengapalah orang yang belajar tinggi-tinggi tergamak pula menipu orang,” kongsi penumpang terbabit.
Dalam perkongsian sama, penumpang itu juga sempat menasihati orang ramai terutamanya pelajar universiti untuk menjadi orang bertanggungjawab dan tidak menipu mereka yang sedang berjuang mencari rezeki.
Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih tontonan mencecah 400,000 dan 56,200 tanda suka daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya tampil berkongsi rasa simpati dengan pemandu teksi itu.
Baca juga: Terkejut tahu 5 produk Malaysia ini pernah kena ‘claim’ oleh Indonesia