Netizen kurang senang makin ramai peniaga makanan salah guna konsep ‘infaq’ demi lariskan jualan

Oleh KIM SYAZIE

Tular di media sosial baru-baru ini satu hantaran yang menyatakan rasa kurang senang terhadap sesetengah peniaga makanan yang menggunakan konsep ‘infaq’ sebagai cara melariskan jualan harian mereka.

Dalam hantaran yang dikongsi satu halamanFacebook, pengendali akaun meluahkan rasa tidak setuju terhadap dua isu yang menurutnya sedang berlaku dalam dunia bisnes kecil-kecilan iaitu sistem vendor kuih dan kaedah pemasaran menggunakan nama ‘infaq’.

Hantaran tersebut mengkritik kecenderungan peniaga makanan yang membuka sendiri slot infaq harian tanpa permintaan daripada mana-mana pihak berkepentingan.

“Anda jual makanan. Kemudian anda sendiri yang buka ‘Jom saya buka infaq untuk 50 orang hari ini’. Lainlah ada orang datang dan bagitahu ‘Saya nak infaq sekian-sekian untuk rumah kebajikan sekian’,” tulisnya.

Hantaran itu menimbulkan perbincangan dalam kalangan pengguna media sosial, khususnya mengenai batas antara amal dan strategi bisnes.

Menurutnya lagi, jika sesuatu inisiatif infaq benar-benar tulen, ia sepatutnya datang daripada pihak ketiga yang ingin menyumbang, bukannya ditentukan oleh penjual sendiri.

“Ini tak, hari-hari anda buka slot infaq. Dah macam penunggang infaq pula,” ujarnya.

Pengguna itu turut memohon maaf kepada mana-mana pihak yang mungkin terasa, namun tetap tegas dalam menyuarakan keprihatinan terhadap etika bisnes sedemikian.

Trend ini sebenarnya mengundang persoalan sama ada niat murni seperti infaq masih dapat dipelihara kesuciannya apabila ia mula dijadikan sebahagian daripada strategi jualan.

Sementara itu di ruangan komen, netizen meninggalkan komen tentang taktik pemasaran menggunakan label infaq yang didakwa semakin disalah guna oleh sesetengah peniaga makanan.

Mereka mempersoalkan niat sebenar peniaga yang membuka slot infaq setiap hari namun masih menjual pada harga biasa tanpa sebarang pengurangan kos atau pengecualian keuntungan.

Baca juga: “Luahan isteri lain buat saya sedar… rupanya suami tak seteruk yang disangka!”