Ejen pelaburan direman kerana ugut, sebar gambar bogel cikgu yang juga madunya

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang wanita dikenakan perintah tahanan reman untuk membantu siasatan kerana disyaki telah mengugut dan menyebarkan gambar bogel guru perempuan yang juga madunya pada bulan Mac lalu.

Perintah reman selama dua hari itu dikeluarkan Majistret Nurul Asyikin Rosli bermula hari ini untuk melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 507 dan 509 Kanun Keseksaan.

Menurut sumber, wanita berusia 53 tahun itu ditahan kira-kira pada pukul 10.15 malam tadi oleh sepasukan polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), lapor Berita Harian.

Ibu kepada empat anak itu telah diklasifikasikan sebagai individu dikehendaki bagi siasatan kes tersebut sebelum ini susulan laporan dibuat oleh seorang guru berusia 47 tahun di sebuah sekolah di Selangor yang juga madunya.

Kejadian bermula apabila bapa kepada guru berkenaan menerima sepucuk surat mengandungi gambar bogel anak perempuannya bersama menantunya sebelum pengadu membuat laporan polis.

“Guru terbabit terkejut apabila bapanya di Klebang, Melaka memaklumkan menerima sepucuk surat daripada suspek berserta gambar bogel anak perempuannya itu dan menantunya.

“Berikutan bimbang gambar aibnya tersebar selain suspek sering mengganggu keluarganya, pengadu membuat laporan polis pada 27 Mac lalu,” kata sumber itu memetik laporan Berita Harian.

Mengulas lanjut, sumber memaklumkan bahawa wanita yang merupakan ejen pelaburan itu ditahan sejurus tiba di KLIA sewaktu pulang ke tanah air selepas bercuti di Vienna, Austria atas tajaan syarikatnya.

Sementara itu peguam yang mewakili suspek, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh memberitahu pihaknya membantah permohonan reman selama empat hari.

“Anak guam saya ditahan sejurus tiba di KLIA kira-kira jam 10.15 malam tadi dan dia memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan. Saya membantah permohonan reman selama empat hari oleh pihak polis.

“Kerana kes ini hanya membabitkan kes domestik. Alasan polis untuk memohon tempoh reman empat hari termasuk bagi menyiasat sama ada anak guam saya menggunakan akaun media sosial palsu,” jelasnya.

Laporan dan penahanan suspek kemudian disahkan oleh Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit namun beliau enggan mengulas lanjut ketika dihubungi media kerana kes masih dalam siasatan.

Baca juga: Netizen kurang senang makin ramai peniaga makanan salah guna konsep ‘infaq’ demi lariskan jualan