Kubur masih merah nak faraid rumah, mentua halau menantu balu, 6 cucu termasuk OKU

Oleh WAN SITI AMINAH

Alangkah hancurnya hati wanita ini apabila dihalau keluar dari kediaman arwah suaminya sendiri oleh sang mentua hanya selepas beberapa hari lelaki terbabit meninggalkan dunia buat selamanya.

Lebih menyayat hati, wanita yang kini berstatus balu itu harus berjuang untuk membesarkan enam cahaya mata termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU) tanpa kehadiran suami di sisinya.

Difahamkan, wanita itu dihalau bersama anaknya kerana keluarga mentua yang sepatutnya meneruskan peranan arwah suami terutama dalam membesarkan waris malah mahu menuntut bahagian daripada rumah tersebut.

Penderitaan demi penderitaan yang dialami oleh wanita berkenaan kemudian diceritakan semula menerusi satu hantaran mencuri perhatian ramai dimuat naik di akaun Threads milik ahli keluarganya.

“Minggu lepas sepupu suami meninggal dunia. Isterinya bekerja dan mempunyai enam orang anak. Salah satunya OKU. Apabila sudah meninggal dunia, baru tahu rupanya sang isteri tak terima nafkah.

“Sebab mak mentua bergelar ustazah itu berikan nasihat yang anaknya tak perlu tunaikan nafkah kerana isterinya bekerja. Kemudian selepas enam hari anaknya meninggal, dihalaunya menantu keluar daripada rumah.

“Mak mentua cakap menantu dihalau kerana dia boleh kahwin baharu nanti. Tetapi hari ini (rumah) kena faraid. Rupanya ada ustazah jenis macam ini,” kesal pemilik akaun Threads itu dalam perkongsian tersebut.

Dalam hantaran yang sama, pemilik akaun memberitahu bahawa wanita berkenaan dihalau ibu mentuanya ketika masih berada dalam keadaan terkejut selepas pemergian suami akibat kemalangan.

Malah ketika dinasihati oleh ahli keluarga lain mengenai haknya ke atas kediaman anaknya, mentua terbabit tetap berkeras mahu menuntut bahagian seperti kemahuannya dengan alasan dirinya ‘belajar agama’.

“Mentua datang tanya mengenai harta-harta milik arwah sedangkan isterinya perlu mengurus banyak perkara lagi. Termasuklah sekolah anak, terapi OKU mereka dan urusan surat kuasa. Macam-macam lagi perlu diuruskan.

“Apabila menantu sudah tertekan, semuanya diluah tanpa sedar. Barulah tahu mengenai nafkah tak pernah tertunai dan pemilikan tanah si arwah yang semuanya diletakkan di atas nama ibunya. Kecewalah si isteri.

“Apabila kita tegur yang faraid untuknya hanya satu per enam kerana arwah masih ada anak lelaki, si mentua tak nak dengar. Katanya dahulu belajar agama dan faraid. Nak tuntut juga satu per tiga sama macam dia belajar.” Kesalnya.

Baca juga: Dari Tumpat ke Kulim hanya naik motosikal, polis dedah remaja 14 tahun jadi mangsa rogol kekasih