Satu rakaman memaparkan keadaan tiga ekor lembu yang dipercayai bakal disembelih untuk ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini telah menimbulkan perbincangan hangat di media sosial.
Mana tidaknya, kesemua lembu yang dipaparkan dalam rakaman dimuat naik di platform TikTok itu tampak kurus malah tulang di bahagian pinggul dan belakang binatang berkenaan juga jelas kelihatan.
Dalam video berdurasi 13 saat itu, perakam juga sempat berseloroh bahawa binatang korban berkenaan terlihat seperti mengambil bahan terlarang hingga membuatkan badannya tampak sangat kurus.
Berdasarkan lokasi yang dipautkan oleh perakam video, lembu tersebut dipercayai bakal disembelih untuk ibadah korban dijalankan sebuah kawasan perumahan terletak di Jalan Taman Telipok Ria, Tuaran, Sabah.
Perakam video juga mendakwa bahawa binatang korban berkenaan dijual dengan harga sekitar RM7,000 namun tidak menyatakan secara jelas sama ada jumlah tersebut adalah untuk seekor lembu sahaja atau sebaliknya.
“Sapi (lembu) ini berharga RM7,000. Tetapi (bentuk badan) macam main ‘barang’. Ini sapi sekiranya diperiksa dengan menjalani ujian air kecing, mesti sangkut,” katanya dalam nada gurauan sambil menyifatkan harga bintang itu tidak berbaloi berbanding harga.
Setakat artikel ini ditulis, tinjauan mendapati perkongsian tersebut sudah berjaya meriah lebih daripada setengah juta tontonan dan seramai 33,600 pengguna TikTok turut meninggalkan tanda suka.
Rata-rata pengguna mengakui terhibur dengan ulasan perakam video mengenai lembu korban tersebut namun turut mengutarakan kebimbangan sekiranya ibadah tersebut sah atau sebaliknya kerana fizikal binatang itu sangat kurus.
Beberapa pengguna juga dilihat meluahkan rasa kurang senang kerana beranggapan situasi sedemikian berpunca daripada sikap penjual lembu yang lebih mementingkan keuntungan sehingga menghiraukan kesihatan haiwan berkenaan.
Sekadar info, isu ini pernah diulas oleh penceramah bebas iaitu Ustaz Azhar Idrus dengan mengatakan perbuatan menyembelih lembu yang bersaiz kecil atau kurus kering boleh membuatkan ibadah korban dilakukan pada bulan Zulhijjah tidak sah.
Jelas penceramah yang juga mesra dikenali sebagai UAI itu, adalah lebih afdal untuk melakukan ibadah korban dengan menyembelih binatang ternakan seperti lembu yang gemuk dan sihat.
Menurut UAI lagi, terdapat empat peringkat hukum bagi haiwan yang ingin dikorbankan iaitu afdal untuk binatang bertubuh gemuk, harus buat haiwan yang sedang elok, makruh jika haiwan kurus dan tidak sah sekiranya bintang tersebut kurus kering.
Baca juga: Orang kita setuju Finland memang negara terbaik dunia, ini 6 sebabnya yang ramai nak tahu