‘Sungai bukan tong sampah’, PHM tegur perbuatan cuci najis lembu di sungai

Oleh KIM SYAZIE

Public Health Malaysia (PHM) menasihatkan masyarakat agar menghentikan perbuatan membasuh najis dan perut haiwan korban, khususnya lembu, di dalam sungai ketika musim Aidiladha.

Dalam satu kenyataan bergambar yang dikongsi di media sosial, PHM menegaskan bahawa tindakan tersebut boleh menyebabkan pencemaran air yang serius, menjejaskan ekosistem sungai serta mengancam kesihatan awam.

“Najis mengandungi bakteria berbahaya seperti E. coli dan Salmonella.

“Jika dibuang ke sungai, ia boleh menyebabkan ikan mati, air menjadi keruh dan berbau busuk, serta mengganggu mikroorganisma semula jadi,” jelas PHM.

Amalan membasuh organ dalaman haiwan korban terus ke dalam sungai juga berisiko menyebabkan pencemaran najis merebak ke hilir sungai, sekaligus menjadikan air tidak selamat untuk kegunaan penduduk yang tinggal di kawasan tersebut.

PHM turut mengingatkan pengendali korban agar mematuhi langkah-langkah pengurusan sisa dengan bertanggungjawab:

1. Elakkan membasuh usus atau najis haiwan di sungai atau longkang.

2. Jarakkan proses pembersihan organ sekurang-kurangnya 50–100 meter dari sebarang sumber air.

3. Sediakan tong najis atau lubang khas yang akan ditimbus selepas digunakan.

4. Sisa organ buangan perlu dikumpul dalam plastik hitam tebal dan dihantar ke tapak pelupusan yang diluluskan.

5. Pastikan sisa tidak dibiarkan terbuka atau menjadi makanan haiwan liar.

“Ibadah korban bukan sekadar menyembelih. Ia amanah untuk menjaga kebersihan, maruah haiwan dan kesihatan komuniti,” tegas PHM.

Dalam suasana menyambut Hari Raya Aidiladha, PHM menyeru semua pihak, termasuk pihak masjid, penganjur ibadah korban dan masyarakat setempat agar lebih prihatin terhadap penjagaan alam sekitar.

“Sungai itu hidup. Ia bukan tong sampah. Setiap air yang mengalir, akhirnya akan sampai ke tubuh manusia juga, sama ada kita atau anak-anak kita nanti,” katanya.

Baca juga: Konon tawar pakej haji dengan bayaran awal serendah RM10k, TH Travel tampil buat penafian