Nahas UPSI: PMX dan isteri dukacita, arah KPM selaras bantuan kepada keluarga mangsa

Oleh WAN SITI AMINAH

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan dukacita susulan tragedi yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam satu kemalangan di Jalan Raya Timur Barat, Gerik, pagi tadi.

Menerusi kenyataan dimuat naik di platform X itu, Anwar turut mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa terlibat selain mendoakan agar mereka diberikan kekuatan dan ketabahan di dalam menghadapi dugaan yang disifatkan amat berat.

Dalam perkongsian tersebut, Anwar juga memaklumkan bahawa pihaknya telah memberikan arahan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menyelaraskan bantuan yang sewajarnya buat keluarga mangsa.

“Saya dan Azizah amat berdukacita menerima perkhabaran nahas tragis awal pagi tadi berhampiran Gerik yang melibatkan sebuah bas dan beberapa kenderaan lain, mengorbankan 15 pelajar. Takziah kepada semua keluarga mangsa.

“Kami mendoakan agar kalian diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan yang amat berat ini. Saya telah arahkan KPT untuk menyelaras bantuan sewajarnya buat keluarga mangsa.

“Musibah menyayat hati sebegini yang sering kali berulang seharusnya menjadi pengajaran buat semua agar sentiasa berhati-hati. Usah terburu-buru mengejar destinasi. Nyawa kalian terlalu berharga dan tiada galang ganti,” katanya dalam hantaran tersebut.

Terdahulu, sekurang-kurangnya 15 mangsa disahkan maut dalam kemalangan tragis membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak awal pagi tadi.

Menurut Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Perak, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan tragis itu daripada Hospital Gerik pada jam 1.10 pagi tadi.

PKOD APM Hulu Perak turut memaklumkan seramai 48 mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu termasuklah 13 orang pelajar meninggal dunia di lokasi kejadian dan dua orang di hospital, manakala empat lagi mangsa pula dilaporkan tercedera.

Difahamkan, kebanyakan penumpang bas adalah pelajar UPSI yang dalam perjalanan dari Terengganu, pulang ke kampus di Tanjong Malim selepas cuti perayaan Aidiladha di mana mereka berkumpul di Jerteh dan menyewa kenderaan itu sendiri untuk balik selepas beraya di kampung masing-masing.

Baca juga: ‘Tak sah korban kalau beri orang miskin sikit, kita pula bawa balik sebesen daging’