Buat pertama kali sistem PRIME dilancar sebagai komunikasi bergerak ketika hadapi bencana

Oleh KIM SYAZIE

Kementerian Komunikasi hari ini melancarkan Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME), sebuah inisiatif strategik untuk memperkukuh kesiapsiagaan negara ketika menghadapi situasi bencana dan kecemasan di lapangan.

Komunikasi Korporat MCMC dalam satu kenyataan berkata, ia akan dilengkapi teknologi satelit, selular, radio dua hala, Wi-Fi dan dron, PRIME berfungsi sebagai sokongan komunikasi interim apabila liputan rangkaian sedia ada terganggu.

Ini sekali gus akan memastikan penyelarasan operasi menyelamat, pengurusan bantuan dan penyampaian maklumat dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Sistem PRIME ini berfungsi sebagai sokongan interim komunikasi, membolehkan operasi menyelamat, pengurusan bantuan dan penyampaian maklumat dijalankan secara berkesan bersama agensi-agensi berkaitan.

“…ia termasuklah di kawasan terpencil atau terjejas liputan bersesuaian dengan slogan PRIME iaitu ‘Ketersambungan Tanpa Batasan’.

“PRIME berkeupayaan memastikan ketersambungan komunikasi yang stabil, fleksibel dan boleh dipercayai ketika operasi bantuan terutamanya apabila liputan komunikasi rangkaian terestrial sedia ada terganggu atau terhad,” kata kenyataan itu.

Selain fungsi semasa bencana, PRIME juga menyokong program jangkauan komuniti seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab digital bergerak, membolehkan perkhidmatan internet dipamerkan serta aktiviti komuniti dilaksanakan terus di lokasi sasaran.

“Ini bukan hanya soal kesiapsiagaan, tetapi juga langkah untuk membina ekosistem komunikasi yang inklusif dan responsif, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI,” tambahnya.

Sebagai permulaan, tiga unit PRIME akan dibangunkan secara berperingkat.

Unit pertama yang dilancarkan hari ini akan ditempatkan di Ibu Pejabat MCMC bagi menyokong operasi di Semenanjung Malaysia, manakala dua lagi unit akan menyusul menjelang akhir 2025 untuk kegunaan di Sabah dan Sarawak.

Baca juga: Malaysia pecut 11 anak tangga, kini Top 25 dunia dalam Ranking Daya Saing