Lonjakan mendadak Malaysia dalam senarai Rangking Daya Saing Dunia (WCR) 2025, menandakan pemulihan ekonomi negara yang jauh lebih kukuh berbanding sebelumnya.
Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai menyifatkan peningkatan sebanyak 11 anak tangga itu sebagai sesuatu yang jarang berlaku dan menunjukkan pencapaian luar biasa dalam pengurusan ekonomi negara.
Menurut beliau, peningkatan ketara ini adalah hasil kombinasi beberapa faktor termasuk dasar fiskal yang berhati-hati, pelaksanaan subsidi bersasar, serta peningkatan keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi Malaysia.
“Lonjakan besar ini jarang berlaku, menunjukkan pemulihan ekonomi yang kukuh. Tahun lalu Malaysia jatuh 7 tangga, tetapi kini bukan sahaja pulih, malah lebih baik dari sebelumnya.
“Kenaikan ini hasil gabungan dasar fiskal berhati-hati, subsidi tersasar, dan keyakinan pelabur asing.
“Penyelarasan subsidi dilihat mula memberi kesan positif kepada struktur ekonomi negara. Kejayaan ini menunjukkan usaha kerajaan dalam menambah baik tatakelola fiskal sedang membuahkan hasil,” katanya.
Walau bagaimanapun, Dr Barjoyai mengakui kesan langsung peningkatan daya saing ekonomi ini masih belum sepenuhnya dirasai oleh rakyat.
“Dalam jangka sederhana, rakyat dijangka melihat kesan melalui peluang pekerjaan dan peningkatan pendapatan. Kedudukan baharu Malaysia dalam WCR ini juga akan merangsang pasaran kerja dan pertumbuhan ekonomi domestik,” katanya.
Beliau turut menjangkakan bahawa gaji dalam sektor swasta akan meningkat seiring dengan prestasi ekonomi dan keyakinan pasaran yang semakin mengukuh.
Terdahulu Malaysia melonjak 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Ranking Daya Saing Dunia (WCR) 2025, menjadikannya pencapaian terbaik negara sejak tahun 2020.
WCR 2025 yang dikeluarkan Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) berpangkalan di Switzerland menyaksikan lonjakan Malaysia dalam kalangan 69 ekonomi berbanding tempat ke-34 tahun lalu.
Dalam kenyataan, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan bahawa pencapaian itu mencerminkan momentum pengukuhan ekonomi negara dan keberkesanan usaha pembaharuan struktur yang dilaksanakan kerajaan.
Baca juga: “Ejen Ali bakal potong kutipan? Baguslah, semua berjaya” – Syafiq Yusof