Remaja buktikan anak penjual nasi lemak pun mampu raih 4 flat STPM

Oleh KIM SYAZIE

Bangun seawal Subuh setiap hari bukan untuk ulang kaji pelajaran, tetapi untuk bantu ibu bapa membungkus nasi lemak di Pasar Awam Tasek Gelugor.

Itulah rutin harian Amirul Akmal Amran, 20, pelajar tingkatan enam yang kini menjadi inspirasi ramai selepas meraih Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam STPM 2024.

Memetik Harian Metro, anak keempat daripada lima beradik ini memilih untuk membantu keluarganya setiap pagi, termasuk pada hari peperiksaan, kerana percaya niat baik akan dibalas dengan kemudahan oleh Allah SWT.

“Ketika orang lain mengelak gangguan sebelum peperiksaan, saya pula memilih bungkus nasi lemak awal-awal pagi.

“Saya masih ingat suatu pagi sebelum jawab soalan kertas Bahasa Melayu, saya tetap tolong ibu bapa seperti biasa,” katanya seperti dilapor.

Amirul yang bercita-cita menjadi guru Sejarah berkata, rutin harian itu tidak melemahkannya, sebaliknya menjadi motivasi kenapa dia perlu berjaya.

“Mungkin sesetengah ibu bapa mereka tidak mahu ganggu anak semasa hari peperiksaan tetapi saya anggap ini rezeki kerana bagi saya tugas itu sebagai motivasi supaya tidak hilang fokus dan mengingatkan saya kenapa perlu berjaya,” katanya.

Lebih membanggakan, di luar kelas, Amirul juga aktif di TikTok menerusi akaun @amirulkmall, dengan lebih 35,200 pengikut dan meraih lebih 3.4 juta tanda suka, tempat dia berkongsi tips belajar dan semangat kepada pelajar lain yang sering bertangguh atau kurang keyakinan diri.

Menurutnya, dia pernah mendapat PNGK 3.0 pada semester pertama namun bangkit dengan usaha konsisten sehingga berjaya mendapat A untuk semua subjek.

“Sejujurnya saya tak pernah bayang boleh dapat PNGK 4.0. Tapi saya tak mahu mengalah. Setiap hari saya belajar bersungguh-sungguh, ulang kaji, bertanya soalan dan belajar daripada guru serta rakan-rakan,” katanya lagi.

Baca juga: Pekerja dedah Kieda Crepe tak terlibat sedia makanan, duduk rumah lepas dijangkiti Herpes