Pengasas Unit Khas Van Jenazah (UKVJ), Wan Cai kembali mencuri perhatian ramai selepas mendedahkan penipuan didakwa disembunyikan di sebalik khidmat pengurusan jenazah yang dipercayai berlaku di Serdang, baru-baru ini.
Difahamkan, kes berkenaan melibatkan seorang individu yang dikatakan mengenakan bayaran sebanyak RM1,550 untuk kos pengurusan jenazah tanpa perbincangan lanjut berhubung perkara itu bersama waris terlebih dahulu.
Individu terbabit dikatakan tidak memberi jawapan ketika ditanya mengenai bayaran sebaliknya terus menguruskan jenazah sebelum mengenakan caj sebanyak RM1,550 atas nama ‘sumbangan’ pada keesokkan harinya.
Tindakan individu itu dianggap memperdayakan mangsa kerana tidak mendedahkan bayaran dikenakan sehingga memaksa waris jenazah berhutang semata-mata untuk melunaskan kos pengurusan tersebut.
Taktik individu itu dibongkarkan oleh Wan Cai yang juga bergelar seorang aktivis menerusi satu hantaran di akaun Facebook miliknya bersama bukti termasuk resit bayaran ke akaun bank menggunakan kod respon pantas (QR).
“Modus operandi yang digunakan adalah uruskan jenazah terlebih dahulu. Sebut harga kemudian. Waris terpaksalah meminjam untuk membayar kos pengurusan yang telah ditetapkan di atas nama ‘SUMBANGAN’.
“Kalau ada sebut harga, tak perlulah tunggang perkataan sumbangan bagai. Cakap terus terang yang RM1,550 itu bayaran kos pengurusan jenazah. Ini tidak, ditunggangnya ayat sumbangan sampai mengelirukan waris,” kesalnya.
Menurut Wan Cai, mangsa boleh terpedaya dengan taktik penipuan itu ekoran menyangka individu dihubunginya adalah pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sering membantu menguruskan jenazah.
Namun lain pula terjadi apabila pihak yang datang untuk menguruskan jenazah ibu waris bukanlah NGO sebaliknya individu tertentu yang ‘mencari makan’ dengan mengaut keuntungan menggunakan cara mudah.

“Dalam isu ini, waris terperangkap berikutan menyangka nombor telefon yang diberikan kakitangan forensik benar-benar NGO pengurusan jenazah. Sekali yang datang itu penunggang agama yang cari makan.
“Waris sedang bersedih, tetapi si bahalol ini pula mengaut keuntungan dengan cara yang mudah. Sebab itulah saya marah apabila dunia kematian diperdagangkan segelintir pihak demi kepentingan peribadi.
“Seharusnya spesis-spesis perosak agama ini dibenamkan di dalam tujuh lapisan bumi.” Ujar Wan Cai yang turut berkongsi perbualan di antara mangsa bersama individu terbabit dalam hantaran sama.

Baca juga: Rakyat Malaysia pilih tinggalkan gaji besar di Singapura