Premis perniagaan milik usahawan, Kieda Crepe ditutup selama satu hari pada Khamis untuk memberi laluan kepada proses sanitasi susulan terlibat dengan kontroversi penyakit kelamin iaitu Herpes yang dialaminya.
Menerusi satu hantaran dimuat naik olehnya di platform Facebook, Kieda memaklumkan bahawa premis miliknya akan beroperasi seperti biasa pada hari Jumaat selepas proses pembersihan itu selesai.
Kieda dalam hantaran itu mengambil kesempatan untuk memohon maaf kerana telah mengecewakan pelanggan atas ketelanjurannya dalam berkata-kata dan menyatakan kesediaannya untuk berubah selepas ini.
“Insya-Allah, semuanya akan baik-baik sahaja. Kieda tutup kedai sehari untuk proses sanitasi ya. Kieda janji akan buat yang terbaik untuk semua tetamu (pelanggan). Sekali lagi Kieda minta maaf atas apa yang terjadi.
“Kieda berjanji tidak akan ulangi kesilapan ini dan bakal mengasingkan privasi kehidupan dan perniagaan. Boleh berikan Kieda peluang ya semua. Kieda ada banyak tanggungjawab.
“Pekerja dan vendor, semuanya di bawah tanggungjawab Kieda. Saya minta maaf sangat-sangat atas kesalahan kali ini,” kata ahli perniagaan terbabit dalam hantaran dimuat naik di akaun Facebook miliknya itu.
Hantaran itu dibuat selepas Kieda berkongsi satu rakaman di platform sama memaparkan beberapa kakitangan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ‘turun padang’ ke premis menjual pencuci mulut terbabit.
Difahamkan, pihak KKM datang susulan menerima aduan untuk mendapatkan penjelasan tentang isu yang sedang hangat diperkatakan di media sosial itu malah Kieda juga dipanggil ke pejabat hari ini untuk memberi keterangan.
“Pihak KKM ada datang ke kedai Kieda. Sebab ada pihak yang membuat aduan tentang isu tular hari itu. Mereka perlukan penjelasan dan doktor daripada jabatan itu juga nak berjumpa untuk tengok diri Kieda.
“Semoga dipermudahkan segala urusanku di dunia dan akhirat. Insya-Allah. Kita tunggu jawapan esok (Khamis), biarlah yang pakar menjawab segala permasalahan ini. Semoga yang baik-baik saja. Terima kasih semua,” ujarnya.
Terdahulu, Kieda menjadi sasaran kecaman selepas memuat naik rakaman ketika dirinya berada di sebuah hospital dan bertanya kepada doktor mengenai mulutnya yang mengalami masalah bintik-bintik dan terasa kebas.
Selepas diberitahu mengenai penyakit Herpes, usahawan itu dengan nada berseloroh mengaitkan punca jangkitan dialaminya dengan kebersihan alat sulit suaminya dan melontarkan kata-kata ‘telur dia masam’.
Walaupun hanya berniat untuk bergurau, namun video tersebut telah mengundang perasaan kurang senang orang ramai kerana Kieda berniaga makanan selain disifatkan sengaja membuka aib sendiri demi perhatian.
Baca juga: Penuntut universiti di Cyberjaya mati dibunuh, suspek siap guna kad ATM mangsa keluarkan duit