Pak cik dalam video tular turut sumbang, AJK surau nafi bayar bil guna yuran penduduk

Oleh MALAYSIADATELINE

Semua bil utiliti surau di kawasan perumahan terletak di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang, Selangor tidak ditanggung menggunakan yuran penyelenggaran penduduk seperti didakwa dalam video tular semalam.

Namun sebaliknya, segala kos operasi berkaitan dengan pengurusan surau dibayar dengan menggunakan hasil sumbangan orang ramai termasuk individu yang dihalau keluar ketika sedang beriktikaf dalam rakaman tersebut.

Perkara itu disahkan oleh pihak pentadbir dan barisan ahli jawatankuasa (AJK) Musolla Halaman 11 berkenaan selain turut memaklumkan bahawa perakam video bukanlah sebahagian dari pengurusan surau.

Menurut sumber yang enggan dinamakan, wanita selaku perakam video tular di platform TikTok itu adalah ‘orang kuat’ dalam Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) di perumahan tersebut, lapor Mstar.

“Dalam video itu, ada sebut JMB yang bayar. Tidak benar, sebaliknya surau yang bayar 100 peratus segala bil elektrik dan air. Pak cik dalam rakaman itu juga merupakan salah seorang penyumbang kepada surau berkenaan,” katanya.

Difahamkan, sumber yang enggan dinamakan itu adalah salah seorang dari AJK Musolla Halaman 11 dan individu terbabit turut memberikan penjelasan mengenai polisi pengurusan berhubung penerimaan jemaah luar.

Jelas AJK terbabit, pihaknya sentiasa terbuka menerima sesiapa sahaja termasuklah penduduk di luar kawasan perumahan tersebut untuk mengimarahkan Musolla Halaman 11 tanpa sebarang bentuk prasangka.

Namun perkara itu dibangkitkan oleh JMB sejak beberapa bulan lalu ekoran pihak mereka tidak bersetuju menerima jemaah luar selain menafikan dakwaan berlaku kecurian di surau tersebut sebaliknya di blok penghuni.

“Berkenaan dengan video yang tular, kes itu berlaku tiga bulan lalu dan dirakam sendiri oleh orang JMB. Dia juga ada menyebut berkaitan kes curi, sebenarnya tidak berlaku kes curi di surau sebaliknya di blok perumahan.

“Selain itu, pak cik di dalam video itu juga memang kami kenal kerana sudah menjadi jemaah di surau setiap masa,” katanya yang memberitahu warga emas terbabit masih setia menjadi jemaah surau sehingga kini.

Dalam pada itu, perbincangan bersama pihak JMB untuk membenarkan jemaah luar beribadat di surau berkenaan sudah dilakukan yang mana AJK diminta untuk membuat surat permohonan.

Surat tersebut difahamkan telah diserahkan kepada pihak JMB sebelum permohonan kemudian dirujukkan kepada Pejabat Majlis Perbandaran Kuala Langat.

“Kami di pihak pengurusan ini sentiasa mengalu-alukan orang luar untuk sama-sama mengimarahkan surau dan tidak pernah mengunci pintu untuk menghalang orang ramai beribadat.” Ujar AJK tempat beribadat itu.

Baca juga: Alasan penduduk bayar elektrik, sedih tengok pak cik ini diminta keluar surau lepas habis waktu