Keluarga Allahyarham Nurly Shahirah Azman yang maut dalam nahas bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terpaksa memasang tali penghadang di pusaranya untuk menghalang sebarang aktiviti khurafat.
Perkara itu dimaklumkan oleh kenalan keluarga terbabit iaitu Ahmad Nazrul Muhammad yang juga merupakan aktivis masyarakat Pertubuhan Amal Komuniti Besut menerusi satu perkongsian di akaun Facebook miliknya.
Menurut Ahmad Nazrul, keluarga Allahyarham berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran orang ramai yang tidak putus-putus mengunjungi pusara arwah semenjak pemergian gadis terbabit pada awal bulan Jun lalu.
Namun terdapat segelintir pengunjung dikatakan mula melakukan perbuatan khurafat sehingga membuatkan ahli keluarga Nurly Shahirah dan penduduk kampung merasa kesal dan kurang selesa atas perbuatan tersebut.
Perbuatan khurafat ini termasuklah dengan mengambil tanah kubur Allahyarham dan memasukkannya ke dalam poket atau plastik untuk dibawa pulang malah ada juga pengunjung menyapukannya ke muka anak mereka.
“Ketahuilah, hukum mengambil tanah kubur bagi tujuan khurafat adalah HARAM dan berdosa besar. Kerana boleh membawa kepada syirik, menghina kehormatan si mati dan melanggar syariat Islam. Jika ada ternampak, TOLONG TEGUR supaya perkara ini tidak berlarutan.
“Aku mohon kepada semua yang memiliki rancangan nak datang ziarah, janganlah buat perkara yang dilarang keras oleh agama kita. Nak datang ziarah, silakan. Nak meminta nasihat dalam mendidik anak dari ibu bapa Nurly, silakan. Asalkan jangan meminta perkara yang bukan-bukan.
“Terutama yang melanggar hukum agama Islam. Semoga kita menghormati keluarga Nurly dan datang menziarahi mereka dengan penuh adab. Semoga kematian Nurly ini membawa 1001 pengajaran buat kita semua yang masih hidup,” katanya dalam hantaran tersebut.
Perbuatan sedemikian mendorong keluarga Allahyarham mengambil insiatif untuk memasang tali penghadang di sekeliling pusara itu pada petang Sabtu dengan harapan kegiatan kurafat dan syirik tidak terus berleluasa.
Rondaan malam akan dilakukan dari semasa ke semasa dan pihak Pejabat Agama Daerah Besut juga bakal mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melakukan perbuatan tidak sepatutnya di kawasan pusara itu.
Nurly Shahirah Azman, 23, adalah salah seorang mangsa yang maut dalam nahas meragut nyawa 15 pelajar UPSI ketika menaiki bas dalam perjalanan menuju ke kampus dari Jerteh pada 9 Jun lalu di Gerik, Perak.
Pemergian Allahyarham bagaimanapun menjadi topik perbincangan hangat sehingga kini kerana ditemukan bersama kitab suci al-Quran dalam pelukan dan jasadnya juga dikatakan berbau harum sebelum dikebumikan.
Baca juga: Ingatkan JPJ dah tukar kereta sport dua pintu, rupanya…