Lebih RM100k lesap! Bekas kerani didakwa pecah amanah duit tiket bas

Oleh MALAYSIADATELINE

Pecah amanah adalah satu bentuk jenayah melibatkan penyalahgunaan kuasa atau kedudukan seseorang yang diberi kepercayaan untuk menguruskan harta, wang atau kepentingan pihak lain.

Namun dilihat masih ada orang sanggup melakukan pecah amanah demi sedikit wang saku tanpa mengetahui segala yang berlaku ada akibatnya.

Menurut Kosmo! Online, seorang bekas kerani sebuah syarikat bas didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas 10 pertuduhan melakukan pecah amanah.

Tertuduh, Bibi Kasiran Mohamad, 50 didakwa tidak menyerahkan wang jualan tiket sebanyak lebih RM114,630 pada 10 tahun lalu.

Wanita yang kini bekerja sebagai pembantu kedai menjual kuih itu mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh yang ketika itu merupakan kerani jualan tiket bas didakwa melakukan pecah amanah.

Ini adalah selepas dia gagal menyerahkan wang berjumlah keseluruhan RM114,630.80 kepada syarikat di kaunter tiket di Terminal Bas Kota Bharu, Lembah Sireh antara Januari sehingga Oktober 2015.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Khairul Azwan Azhan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 untuk kesemua pertuduhan.

Manakala 28 Ogos depan sudah ditetapkan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. Tertuduh tidak membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah.

Baca juga: Harta Tun Daim Zainuddin bernilai RM4.5 bilion di lima negara akan dibeku, ini puncanya