PU Azman hafaz 4 juzuk al-Quran, ajar banduan dan kongsi ilmu dengan pegawai penjara

Oleh WAN SITI AMINAH

Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias sudah menghafaz empat juzuk al-Quran sepanjang berada di Penjara Kajang untuk menjalani hukumannya atas kesalahan melakukan amang seksual terhadap remaja bawah umur.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam yang sebelum ini mewakilinya dalam perbicaraan kes iaitu Mohamad Zahid Ahmad menerusi satu perkongsian dimuat naik di akaun Facebook miliknya, baru-baru ini.

Tampil berkongsi perkembangan terkini, Mohamad Zahid memaklumkan bahawa pendakwah yang turut dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman itu berada bawah jagaan baik sepanjang berada di sebalik tirai besi.

Malah lelaki berusia 44 tahun itu tetap berpeluang untuk meneruskan dakwahnya dalam penjara dengan mengajar banduan serta berkongsi ilmu bersama pegawai yang berada di pusat tahanan berkenaan.

Walau bagaimanapun, Mohamad Zahid juga menjelaskan bahawa pengalaman ketika berada dalam penjara bukan sesuatu yang menyeronokkan dan hanya mereka ditahan termasuk PU Azman dapat merasainya.

“Sebelum menulis catatan ini saya telah mendapatkan izin PU Azman sendiri tentang apa yang hendak ditulis. Untuk pengetahuan semua, beliau berada di dalam jagaan yang baik. Setiap hari, beliau mengajar banduan-banduan di dalam penjara.

“Adakalanya, berkongsi ilmunya dengan pegawai penjara. Beliau mohon untuk didoakan. Sekarang ini sudah masuk empat juzuk al-Quran yang beliau hafal. Setiap kali jumpa beliau, ada sahaja buku yang beliau minta dan kakaknya akan menjadi tempat saya mohon pertolongan.

“Duduk di dalam penjara bukanlah seronok. Hanya beliau sahaja yang tahu apa yang dirasakan. Namun setiap orang ada jalan dan ceritanya sendiri. Saya yakin apa yang terjadi pada sahabat saya adalah ujian yang terbaik di sisi Allah,” katanya dalam perkongsian itu.

Dalam perkongsian yang sama, peguam berkenaan turut memuat naik gambar bersama rakan-rakan satu sekolah ketika membawa mereka berjumpa dengan pendakwah terbabit di Penjara Kajang.

Menurutnya, tugas sebagai peguam sudah selesai namun peranannya sebagai sahabat akan tetap kekal selamanya sehingga ke akhir hayat selain turut berkongsikan situasi ketika pertemuan tersebut diadakan.

“Sejujurnya, saya telah lama tidak lihat wajah beliau yang ceria. Terakhir kali rasanya sewaktu makan durian dekat Rembau, Negeri Sembilan sebelum kes dia itu meletup. Walaupun dihalang cermin, tetapi keceriaan dia tengok kawan-kawan datang itu cukup mengharukan.

“Akhirnya, tiada kehidupan yang sempurna. Kerana sedih dan bahagia itu akan datang menyapa. Ada harinya, itulah hari yang baik dengan kita. Ada harinya, itulah hari yang menentang kita. Maka jadikanlah sabar dan syukur itu sebagai penyempurna semua rasa yang ada.” Ujarnya.

Baca juga: Ketua menteri tak jadi nak rasmikan jambatan selekoh 90 darjah, terus pecat 7 jurutera