Personaliti media sosial dan usahawan terkenal, Khairul Aming memberi respons jujur berhubung relevansi pendidikan dan perbandingan dengan pendapatan content creator seperti Tiktoker.
Beliau berkata, pendapatan yang bergantung semata-mata kepada ulasan produk sebenarnya boleh bertahan dalam jangka masa yang pendek, dan tidak ramai mampu bertahan selepas tiga tahun.
“Benda ini betul. Kalau bergantung dekat ulasan berbayar boleh survive untuk jangka masa pendek sahaja (kurang dari lima tahun, malah ramai yang tak boleh survive lebih dari 3 tahun,” katanya.
Khairul Aming berkata, kadar bayaran seseorang pencipta kandungan banyak bergantung kepada tahap ‘engagement’ dan sejauh mana mereka relevan dalam pasaran.
“kadar bayaran anda bergantung kepada ‘engagement’ dan sejauh mana anda relevan dalam pasaran. Semakin hari semakin ramai pencipta kandungan dan semakin susah nak bersaing mendapatkan pengikut dan semakin susah nak kekal relevan. Jenama akan pergi kepada mereka yang relevan pada masa itu,” ujarnya lagi.
Menurutnya, apabila persaingan semakin tinggi, bayaran untuk ulasan berbayar juga semakin rendah dan ini menyukarkan kelangsungan kerjaya dalam industri tersebut.
Kenyataan itu dibuat sebagai respon terhadap perbincangan tular tentang nilai pendidikan dan realiti pasaran kerja, termasuk pandangan Dr Malar Santhi yang mempertahankan kepentingan pendidikan dalam jangka panjang.
Baca juga: Peniaga murtabak bayar deposit rumah guna duit syiling, berjaya kumpul selepas 3 tahun