Warga emas dimarahi juruwang, tersalah ambil barang MyKasih – “Menyusahkan orang!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu perkongsian berhubung kejadian yang menimpa seorang wanita warga emas ketika mahu membeli barang dapur menggunakan bantuan MyKasih di sebuah pasar raya.

Difahamkan, warga emas yang datang tanpa berteman ke pasar raya berkenaan telah dimarahi oleh juruwang hanya kerana mengambil barangan yang tidak termasuk dalam senarai di bawah tanggungan program MyKasih.

Kejadian itu disaksikan oleh pengunjung lain yang berada di premis sama sebelum individu terbabit memutuskan untuk menceritakan situasi menyentuh hati berkenaan di platform media sosial sebagai pengajaran.

Menurut individu itu, kejadian berlaku ketika dirinya pergi ke pasar terbabit bersama keluarganya untuk membeli barang dapur sebelum beratur di kaunter pembayaran di belakang warga emas berkenaan.

“Minta yang ada mak ayah, tolong jangan biarkan mereka tebus SARA atau MyKasih seorang diri. Kami beli barang dapur sebulan sekali. Pagi-pagi tak ramai orang, jadi aman sahaja nak pilih barang. Tetapi di kaunter yang tak aman.

“Satu hari di depan mata aku juruwang cakap macam ini, ‘Mak cik lain kali kalau tak reti, jangan tebus duit MyKasih. Menyusahkan oranglah’. Aku duduk belakang mak cik itu. Dia terkebil-kebil sahaja selepas kena marah.

“Aku dengar lagi juruwang tanya, ‘Barang yang ini nak beli juga ke? Sebab tak termasuk dalam MyKasih”. Mak cik itu cakap nak, sebab barang di rumah habis. Tetapi duit ada RM50 sahaja. Jumlah harga barang itu lebih, RM65.80,” kongsinya.

Difahamkan, jumlah RM65.80 itu adalah harga baki barang basah dan item lain yang tidak termasuk di dalam senarai program bantuan sehingga warga emas terbabit perlu membuat bayaran menggunakan wang sendiri.

Oleh kerana wang milik warga emas itu tidak mencukupi, individu yang menyaksikan kejadian tersebut mengambil keputusan untuk tampil menghulurkan bantuan dengan membayar baki barangan atas dasar belas kasihan.

“Aku sudah naik kematu sebab lama sangat. Akhirnya aku buat muka tak malu, tanya ada masalah apa. Mak cik itu ada RM 50. Jadi aku tambah RM 15.80. Mula-mula dia tak nak. Suruh simpan duit, nak letak balik barang dekat rak.

“Aku cakap tak apa, nak belanja mak cik hari ini. Cukup didoakan murah rezeki selalu dan sihat tubuh badan. Dia sudah bergenang air mata. RM15 sahaja. Bukan banyak, dari dia penat kena hantar balik barang,” katanya yang mengaku turut menitiskan air mata ketika kejadian.

Baca juga: Tak ramai pencipta kandungan boleh bertahan selepas tiga tahun, sebab itu pendidikan penting