Kekurangan doktor di Malaysia, terutamanya di hospital kerajaan dan klinik pakar, telah menyebabkan masa menunggu pesakit menjadi semakin lama dan perkhidmatan rawatan terganggu.
Bilangan pesakit yang tinggi juga tidak seimbang dengan jumlah doktor yang bertugas, menyebabkan setiap doktor terpaksa mengendalikan lebih ramai pesakit daripada kemampuan optimum mereka.
Tular di media sosial satu gambar yang diambil di Klinik Orthopaedik Hospital Sungai Buloh mengenai masa rawatan yang mungkin lebih lama disebabkan kekurangan pegawai dan pakar perubatan.
Disebabkan itu, Kementerian Kesihatan (KKM) tampil memberikan penjelasan susulan penularan gambar dan aduan orang awam berkenaan kesesakan yang berlaku pada 30 Jun lalu.
Dalam kenyataan dikeluarkan, KKM memaklumkan seramai 158 pesakit telah hadir ke klinik berkenaan pada hari tersebut lapor Kosmo! Online.
Kesemua pesakit dikendalikan oleh tiga pakar serta tiga pegawai perubatan yang bertugas mengikut jadual serta kapasiti sedia ada.
Jelas KKM, angka yang tular turut mengambil kira jumlah ahli keluarga dan penjaga pesakit.
“Ini adalah amalan biasa di fasiliti kesihatan awam, khususnya bagi warga emas dan kanak-kanak.
“Kami memahami kesulitan yang dihadapi pesakit dan keluarga, terutama berkaitan masa menunggu.
“KKM sedar beban kes di hospital rujukan seperti Hospital Sungai Buloh adalah tinggi dan usaha penambahbaikan sedang dijalankan secara berterusan untuk memperbaiki aliran pesakit,” jelas KKM.