Ditipu penceramah bebas sampai rugi RM200k, 3 wanita buat laporan polis

Oleh MALAYSIADATELINE

Kes penipuan yang berselindung di sebalik nama agama kini semakin berleluasa, lebih membimbangkan apabila dalangnya terdiri daripada individu bergelar penceramah bebas.

Tindakan ini bukan sahaja menipu, malah mencemarkan kesucian agama dan memperdaya kepercayaan masyarakat.

Jangan mudah terpedaya dengan kata-kata manis atau penampilan ‘alim’ semata-mata dan jangan sesekali menghulurkan wang tanpa usul periksa.

Memetik Berita Harian, tiga wanita tampil membuat laporan polis secara berasaingan terhadap seorang penceramah bebas berprofil tinggi.

Ketiga-tiga wanita 30-an hingga 40-an mendakwa diperdaya hingga membabitkan kerugian keseluruhan RM200,000.

Aduan terbabit adalah berkaitan transaksi pinjaman wang yang dikatakan untuk membantu urusan sekolah agama di Lembah Klang dan urusan jemaah umrah.

Seorang wanita berusia 41 tahun membuat laporan di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam selepas menyerahkan RM60,000 kepada individu yang mendakwa mahu menyelesaikan urusan jemaah umrah melalui mesej WhatsApp.

Wang tersebut dikatakan masuk ke akaun bank milik sebuah syarikat yang dikaitkan dengan sekolah agama berkenaan.

Manakala wanita berusia 39 tahun melaporkan kepada Balai Polis Bukit Jelutong, Shah Alam individu sama meminjam RM60,000 melalui tiga transaksi antara Ogos hingga September 2020.

Mangsa juga memberikan alasan sama memberikan pinjaman tas alasan membantu urusan pembangunan sekolah agama milik individu berkenaan.

Laporan ketiga oleh wanita berusia 44 tahun dibuat di Balai Polis Wangsa Maju selepas mendakwa menyerahkan sejumlah wang berperingkat berjumlah RM80,000.

Alasan membantu adalah sebagai ‘pelaburan’ untuk membeli sekolah agama sama, malah dia juga membuat bayaran tambahan selepas diminta beberapa kali.

Ketua Polis Daerah Wang Maju, Asisten Komisioner Mohd Lazim Ismail mengesahkan laporan polis berkenaan, namun kes itu dirujuk ke Polis Daerah Gombak.

“Laporan dibuat di Wangsa Maju tetapi laporan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak kerana tempat berlaku di kawasan pentadbiran IPD Gombak,” katanya.

Baca juga: Pemuda Pakistan didakwa liwat 4 lelaki diburu polis, mangsa paling muda usia 9 tahun!