Tular di media sosial mengenai dakwaan individu tidak dikenali terhadap pelakon veteran Hamidah Wahab bahawa dia sekeluarga adalah ‘scammer’.
Tuduhan tersebut juga melibatkan adik pelakon tersebut dan dua lagi individu yang tidak dikenali menerusi hantaran di Instagram.
Dalam satu video berasingan, Hamidah tampil menjawab isu itu dan memaklumkan ia adalah pembohongan semata-mata.
“Saya nak bersihkan nama saya, demi Allah, demi Tuhan, saya bukan ‘scammer’ yang dituduh di media sosial.
“Saya nak menerangkan saya tak pernah buat dan tak pernah menipu duit orang satu sen pun. Ini adalah tuduhan dan fitnah yang melibatkan karier sebagai pelakon.
“Sepanjang saya berlakon, 51 tahun saya tidak pernah menipu orang dan tidak pernah mengambil orang punya baju selama ini.
“Kepada mereka yang menuduh saya sebagai scammer, kita akan berjumpa satu hari nanti. Saya dah buat laporan polis untuk membersihkan nama saya,” jelasnya dalam video tersebut.
Tegasnya dia tidak mempunyai masalah untuk saman fitnah terhadap individu terlibat dan juga mereka yang mengutuknya dalam media sosial.
“Saya tidak teragak-agak untuk saman fitnah dan saman malu terhadap individu yang telah memfitnah saya. Sudah hampir sejuta orang yang menonton video fitnah tersebut.
“Sesiapa yang mengutuk saya dalam media sosial, saya juga tak akan teragak-agak untuk mengheret mereka ke muka pengadilan,” tambahnya.
Baca juga: Meniaga bukan untuk kaya, ramai hiba tengok video lama pasangan terbabas di Sungai Korok