Suami mengaku Bonda Rozita mengurat dulu ketika berkenalan, ini respon tuan badan

Oleh WAN SITI AMINAH

Usahawan terkenal, Rozita Ibrahim baru-baru ini tampil bersama suaminya yang dikenali sebagai Ustaz Khairul untuk menceritakan detik perkenalan mereka sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin.

Rozita memulakan bicara dengan bertanya soalan kepada suaminya mengenai punca lelaki terbabit tidak berkahwin dengan wanita yang lebih muda memandangkan Ustaz Khairul mempunyai ramai kenalan lain.

Ustaz Khairul yang juga abang kepada pelakon, Rebecca Nur Al Islam itu kemudian berseloroh mengatakan punca dirinya tidak berkahwin dengan wanita lebih muda adalah kerana Rozita menguratnya terlebih dahulu.

Jelasnya, usahawan yang mesra dikenali sebagai Bonda Rozita itu memulakan langkah pertama dalam perkenalan mereka dengan menghubunginya terlebih dahulu menerusi aplikasi Whatsapp.

“Sebab yang tua sampai dahulu. Awak yang pinang dan mengurat dahulu. Maksud saya, pinang itu bukan hantar rombongan. Tetapi lebih kepada cara percakapan kerana awak yang mula menghubungi saya.

“Memang dalam pertemuan pertama, saya yang jumpa awak dahulu. Tetapi awak yang WhatsApp saya terlebih dahulu. Awak hantar gambar pertemuan kita di kedai kek,” kata Ustaz Khairul dalam satu rakaman tular.

Rakaman siaran langsung itu pada mulanya dikongsikan oleh Rozita di akaun Instagram miliknya sebelum tular di pelbagai laman media sosial selepas dimuat naik semula oleh pengguna lain termasuk di platform TikTok.

Dalam sedutan rakaman berdurasi lapan minit 23 saat itu, Rozita terlihat malu-malu dan tidak bersetuju dengan pendapat Ustaz Khairul bahawa dirinya yang meminang suaminya terlebih dahulu.

Ibu kepada usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri itu kemudian mendedahkan bahawa dirinya tidak berhubung dengan mana-mana lelaki lain sebelum bertemu dengan Ustaz Khairul.

Namun di dalam tempoh dua minggu sebelum mereka akhirnya berjumpa, Rozita berdoa kepada Tuhan selepas mendirikan solat supaya diberikan yang terbaik di dalam hidupnya.

“Jujur cakap, saya tidak kenal dengan mana-mana lelaki pada ketika itu. Di dalam kesedihan saya berdoa kepada Allah, ‘Wahai Allah, beratnya ujian aku ini. Boleh tak kalau putuskan sesuatu apa yang terbaik dalam hidup aku’.

“Masa bertemu dengan dia itu, saya jumpa bertiga. Ketika kejadian, saya langsung tidak pandang muka dia sebab rasa segan. Kami berjumpa memang tidak lama, dalam 10 hingga 15 minit kerana saya hadkan.” Akuinya.

Bonda Rozita akhirnya tidak menyangkal bahawa dirinya memulakan langkah pertama dengan berkongsi nombor telefon sebelum memberanikan diri untuk menghubungi Ustaz Khairul terlebih dahulu.

Baca juga: Tak betul anggap perkataan ‘keling’ sensitif, pemuda India ini perjelas sebabnya