Aliff Syukri mengamuk rumah kena ceroboh, syak dijadikan sarang pelacur dan penagih dadah

Oleh WAN SITI AMINAH

Usahawan selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman tidak dapat menahan amarahnya apabila mendapat tahu salah sebuah rumah miliknya telah diceroboh selain turut dijadikan ‘port’ atau lokasi kegiatan tidak bermoral.

Menerusi satu rakaman dimuat naik di platform TikTok, Aliff dilihat bertindak menyerbu rumah tersebut sebelum menemui seorang wanita berusia dipercayai warganegara asing yang dikatakan menjalankan aktiviti pelacuran.

Hal ini kerana wanita terbabit sudah mengenakan pakaian seksi, bersolek tebal serta telah berada di atas katil ketika usahawan berusia 38 tahun itu menyerbu bilik di dalam rumah berkenaan bersama isteri dan kakitangannya.

Difahamkan, kediaman yang dipercayai terletak di Sungai Buloh itu sememangnya tiada penghuni namun diduduki oleh wanita warga asing terbabit selama berbulan-bulan dan didakwa turut dijadikan sarang penagih dadah.

“Kenapa kamu datang rumah saya dan bawa masuk lima lelaki? Dengan pakaian seksi macam ini. Dia jual diri ini. Jangan sampai aku lepuk muka kau,” kesal Aliff terhadap wanita berusia itu dalam rakaman tersebut.

Aliff juga kelihatan seperti berusaha meminta penjelasan berhubung penemuannya itu namun gagal kerana wanita terbabit malah memberi jawapan di dalam bahasa yang tidak difahami.

@papalarisofficial

Papa sungguh tak sangka. Rumah papa , kena ceroboh oleh orang tak bertanggungjawab.. Papa tak sihat dan badan papa seram sejuk nak demam.. Rumah Papa, dibuatnya sarang pelac**an dan sarang D*d*h. MasyaALLAH, apa yang perlu papa buat 😱 Papa Buntu dan kecewa sangat sangat.. Patot ke papa lepaskan atau Papa call Polis ? #i

♬ original sound – Aliff Syukri Kamarzaman – Aliff Syukri Kamarzaman

Dalam perkongsian sama, usahawan terbabit mengakui merasa sangat kecewa dan buntu berhubung tindakan yang sepatutnya diambil sama ada membuat laporan polis atau melepaskan sahaja wanita itu.

“Papa (panggilan Aliff) sungguh tak sangka. Rumah Papa kena ceroboh oleh pihak tak bertanggungjawab. Papa tak sihat dan badan terasa seram sejuk nak demam. Rumah Papa dijadikan sarang pelacuran dan penagih dadah.

“Masya-Allah, apa yang perlu Papa buat? Papa buntu dan kecewa sangat-sangat. Patutkah Papa lepaskan sahaja atau hubungi pihak polis?,” tulis Aliff di ruangan kapsyen hantaran itu.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna turut merasa ‘panas hati’ menonton rakaman tersebut dan mencadangkan Aliff melaporkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa agar tindakan tegas dapat diambil.

Beberapa individu turut meluahkan kecurigaan berikutan Aliff selalu mencetuskan kontroversi sehinggakan mereka merasa bimbang bahawa kejadian berkenaan hanyalah sekadar lakonan semata-mata.

Baca juga: Satu keluarga dituduh ‘scammer’, Hamidah Wahab siap bersumpah, jelas ia hanya penipuan