Lawatan Perdana Menteri ke Itali, Perancis dan Brazil baru-baru ini bukan sekadar kunjungan diplomatik, sebaliknya membawa impak besar dari sudut hubungan dua hala, geopolitik, dan masa depan ekonomi Malaysia.
Pakar geostrategi, Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata, banyak pihak tersilap apabila menganggap lawatan itu sebagai tidak memberi hasil.
“Begitu naif dan dangkal bagi pihak yang mengkritik lawatan pemimpin ke luar negara dengan meminta data-data pelaburan. Mereka hanya melihat yang tersurat, tanpa memahami manfaat tersirat yang jauh lebih penting,” katanya.
Azmi menjelaskan, pemilihan Itali dan Perancis sebagai destinasi lawatan bukan kebetulan, sebaliknya berkait rapat dengan rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) yang sedang berlangsung ketika ini.
Sebagai pengerusi blok serantau itu, Malaysia memainkan peranan penting dalam membuka lebih banyak pasaran Eropah kepada pengusaha ASEAN.
Azmi yang juga felo kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara berkata, Brazil adalah “tingkap masuk” kepada pasaran Amerika Latin, yang selama ini sukar diakses oleh syarikat Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
“Mereka kena fikirkan maksud tersirat kenapa Itali dan Perancis dipilih sebelum menuju ke Brazil. Ia kerana ASEAN pada ketika ini sedang berunding FTA dengan EU, bukan sahaja untuk pengusaha di Malaysia tetapi Perdana Menteri sebagai Pengerusi ASEAN cuba membuka lebih banyak pasaran di negara Eropah.
“Dan penting juga pembukaan pasaran ini kerana Brazil dilihat sebagai tingkap untuk pengusaha Malaysia dan ASEAN untuk memasuki pasaran negara Amerika Latin yang amat payah pada ketika ini,” ujarnya.
Kejayaan diplomatik Malaysia
Selain impak ekonomi, Azmi menegaskan kejayaan diplomatik turut dicapai apabila Presiden Brazil Lula da Silva dan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni bersetuju untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur, Oktober ini, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Beliau berkata sidang kemuncak kali ini dijangka antara yang terbesar, dengan kehadiran tokoh utama dari China, India dan Rusia turut dinanti.
“Ini adalah satu pencapaian yang besar kerana saya rasa tidak pernah lihat pemimpin Itali dan Brazil hadir di Sidang Kemuncak ASEAN.
“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN telah berjaya memujuk negara ini untuk hadir bersama kerana sidang kemuncak bukan hanya berkenaan ASEAN, ianya adalah isu global.
“Jadi ini yang sepatutnya kita raikan kejayaan PM yang berjaya membawa Malaysia ke landasan antarabangsa tapi lebih penting, ASEAN itu sendiri lebih dihormati sehinggakan Sidang Kemuncak Oktober ini dianggap paling besar sekali.
“Jadi ini yang dikatakan manfaat-manfaat tersirat yang perlu kita tunjuk kepada mereka yang memperlekehkan (usaha PM),” ujarnya.
Untuk rekod, lawatan delegasi Malaysia ke Itali berjaya membuka peluang pelaburan baharu dengan potensi melebihi RM8 bilion.
Manakala di Perancis, anggaran potensi pelaburan kira-kira RM4 bilion.
Baca juga: Nino Fernandez rela naik pesawat pergi balik ke Malaysia beli nasi lemak, kekasih teringin makan