Pempengaruh media sosial sensasi, Siti Jamumall kembali mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsi satu rakaman memaparkan dirinya mengunjungi sebuah hospital swasta.
Kunjungan itu dilakukan bersama ibu Siti dan usahawan kosmetik terkenal iaitu Datuk Seri Vida untuk meninjau lokasi yang akan menjadi tempat bersalin pempengaruh terbabit tidak lama lagi.
Namun menerusi rakaman yang dikongsikan di platform TikTok itu, Siti yang mulanya terlihat teruja tiba-tiba tidak dapat menahan sebak sebelum mengelap air matanya dan menyandarkan wajah di bahu Datuk Seri Vida.
Rupa-rupanya, pemilik nama sebenar Siti Suriani Wahidin itu terharu dengan kehadiran usahawan berkenaan yang hadir membantunya dengan menanggung segala kos untuk melahirkan anak di hospital tersebut.
Pempengaruh berusia 26 tahun terbabit tidak menyangka bakal dikurniakan rezeki sedemikian selepas berhadapan dengan pelbagai dugaan kebelakangan ini termasuklah ujian penceraian pada bulan Mei lalu.
“Insya-Allah, Siti akan bersalin di Ipoh, Perak dekat dengan Mama Vida. Terima kasih Mama sebab sediakan semua untuk Siti bersalin nanti. Terfikir juga nanti beranak kalau seorang diri, macam manalah kan.
“Tetapi Allah hadirkan saya Mama (kandung) dan Mama Vida. Ketika ujian datang bertubi-tubi, mama Vida hadir bagaikan pelindung. Pengorbanan mama bayarkan bil hospital ini, Siti takkan lupa sampai akhir nyawa,” kongsinya.
Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih sebanyak 1.4 juta tontonan dan 32,500 tanda suka daripada pelayar TikTok yang mana rata-ratanya terharu dengan tindakan Datuk Seri Vida.
Ramai juga pengguna tidak lupa mengirimkan doa buat Siti Jamumall supaya semua urusan termasuk persalinan pempengaruh berkenaan berjalan dengan lancar dan dikurniakan zuriat yang sihat walafiat.
Terdahulu, Siti mula menjadi topik perbincangan hangat selepas tularnya rakaman memaparkan dirinya diceraikan oleh suaminya yang juga merupakan pempengaruh iaitu Aiman Tak Kesah dalam satu siaran langsung di TikTok.
Siti sebelum ini juga pernah mendirikan rumah tangga dengan Mohammad Syafiq pada 2019 sebelum membuat keputusan untuk membawa haluan masing-masing selepas tiga tahun berkahwin.
Hasil daripada perkahwinan terdahulu itu, Siti dan bekas suami dikurniakan dengan dua cahaya mata lelaki iaitu Putra Adam Rizki, 6, dan Putra Aiman Zafran yang kini berusia empat tahun.
Wanita terbabit kemudian kembali bergelar isteri selepas menikah dengan Aiman dalam satu majlis tertutup pada Jun 2023 di Satun, Thailand.
Baca juga: Enam tahun terkahwin dengan adik kandung sendiri sampai beranak pinak