Sambal nasi lemak buat lelaki terpikat dengan isteri orang, nekad tinggal sebumbung

Oleh MALAYSIADATELINE

Gara-gara terpikat dengan sambal nasi lemak buatan isteri orang, seorang lelaki mengambil keputusan nekad untuk tinggal sebumbung bersama wanita itu di sebuah rumah sewa terletak di Kluang, Johor.

Perbuatan mereka terbongkar selepas kediaman tersebut diserbu oleh penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sebelum mencekup pasangan berkenaan di atas kesalahan berkhalwat.

Difahamkan, serbuan dijalankan kira-kira pada pukul 11.45 malam kelmarin itu dibuat selepas menerima maklumat orang awam yang merasa curiga dengan mereka kerana dipercayai bersekedudukan tanpa memiliki ikatan sah.

Menurut JAINJ, wanita berusia 28 tahun berstatus isteri orang itu masih belum memiliki cahaya mata dan tidak tinggal sebumbung dengan suaminya yang dikatakan berasal daripada Mersing, lapor Berita Harian.

Wanita itu sebaliknya bersekedudukan bersama kekasih yang dikenalinya ketika sama-sama bekerja di sebuah kedai makan sebelum mengambil keputusan untuk menyewa rumah tersebut kira-kira pada dua bulan lalu.

“Siasatan awal mendapati wanita itu mengenali kekasihnya yang berusia 30 tahun ketika sama-sama bekerja di sebuah kedai makan di Kluang. Perkenalan bermula apabila lelaki itu meminati sambal nasi lemak dimasak wanita terbabit.

“Sehinggalah mereka jatuh cinta kemudian bersepakat menyewa sebuah rumah sejak dua bulan lalu dan tinggal seperti suami isteri,” kata pihak JAINJ mendedahkan hasil siasatan awal memetik laporan Berita Harian.

Jelasnya, pasangan terbabit disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 yang boleh membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Baca juga: Tertekan nak penuhi permintaan ibu suruh beli kereta Honda sedangkan gaji RM1.5k