Terkenal dengan video memasak di Youtube, Che Nom tampil meluahkan rasa kecewa selepas ‘ditikam belakang’ oleh anak saudaranya sendiri yang selama ini ditatang bagai minyak yang penuh.
Dalam satu luahan panjang di media sosial, Che Nom menjelaskan bahawa dia hanya menjalankan perniagaan kecil-kecilan berasaskan keluarga.
Malah Che Nom membuat keputusan untuk mengambil anak saudara bekerja walaupun tanpa kelulusan berkaitan, semata-mata untuk membantu.
“Che Nom ambil anak saudara kerja sekali, walaupun dia tak ada kelulusan berkaitan. Anak saudara ni bukan orang lain, Che Nom sendiri yang besarkan dia dari kecil.
“Basuh berak dia, hantar pergi sekolah, masak setiap hari untuk diaorang makan. Bila dah besar sikit, Che Nom ambil kerja sekali sebab nak bagi peluang, nak bagi dia survive kat Klang Valley ni.
“Kita bagi pendapatan tetap secara bulanan supaya hidup dia senang sikit kat sini.
“Che Nom ajar dari kosong, siap buatkan slide langkah demi langkah. Kamera pun Che Nom tunjuk satu-satu,” katanya dalam luahan di Facebook.
Che Nom turut mendedahkan bahawa anak saudaranya diberikan gaji tetap, cuti umrah bergaji selama sebulan untuk dua tahun berturut-turut, serta bantuan kewangan dan penginapan.
Namun begitu, Che Nom terkejut apabila individu tersebut membuat laporan ke Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), menyebabkan dia kini berdepan tindakan undang-undang.
“Che Nom tak faham kenapa kebaikan kita dipijak-pijak macam ni. Kita tolong dengan ikhlas, tapi balasan macam ni pula yang kita dapat.” luahnya.
Che Nom juga berharap pihak berkuasa lebih memahami realiti perniagaan keluarga kecil yang tidak beroperasi seperti syarikat besar yang lengkap dengan jabatan sumber manusia dan kontrak formal.
“Kalau semua kena formal, susahlah nak bantu keluarga. Kita meniaga cari rezeki halal, bukan nak kena tikam belakang,” katanya lagi.
Pada masa sama dia meminta orang ramai agar berkongsi pengalaman jika pernah melalui situasi serupa, sambil mengingatkan dirinya dan orang lain untuk terus bersabar dan percaya bahawa setiap ujian pasti ada hikmahnya.
Baca juga: Pengurus projek bakar wang tunai cecah RM1 juta, panik rumah diserbu SPRM