Peguam sangkal dakwaan ibu Anna Jobling, kongsi rakaman kejadian jelas situasi sebenar

Oleh WAN SITI AMINAH

Peguam yang mewakili Anna Jobling iaitu Wan Nurliyana Abdul Rahman tampil memberikan penjelasan mengenai kejadian pertelingkahan melibatkan pelakon itu dengan ibu kandungnya, Ariz Arop.

Menerusi hantaran di Instagram Story, peguam terbabit menafikan dakwaan Ariz sebelum ini bahawa pihaknya menyentuh mahupun memaksa wanita terbabit untuk keluar daripada kereta.

Sebaliknya berdasarkan rakaman yang dikongsikan oleh Nurliyana dalam hantaran itu, peguam terbabit kelihatan hanya membuka pintu kenderaan sebelum Ariz bertindak menjerit ke arahnya.

Video memaparkan kejadian yang berlaku pada Selasa lalu di sebuah kawasan parkir itu difahamkan dirakam dari bahagian belakang kereta oleh Anna sendiri ketika pelakon terbabit sudah berada dalam kenderaan lain.

Peguam itu turut menolak dakwaan bahawa ibu kepada pelakon berkenaan dikunci daripada dalam kereta seperti yang diperkatakan oleh wanita terbabit menerusi luahan di platform media sosial sebelum ini.

“Saya buka pintu kereta kali kedua dan tiada sesiapa pun yang dikeluarkan. Dia (Ariz) langsung tidak disentuh atau diusir seperti didakwa sebelum ini. Saya cuma mengambil kad akses milik Anna dari dalam kereta.

“Kereta itu boleh dibuka dari bahagian dalam. Kereta itu tidak berkunci pun, cuma individu berkenaan enggan keluar,” jelasnya dalam hantaran yang turut memaparkan rakaman kejadian.

Walau bagaimanapun, Nurliyana tidak memberi sebarang penjelasan tentang punca pertelingkahan anak guamnya dengan ibu kandungnya sebaliknya hanya mengulas mengenai perintah injunksi yang diterima Ariz.

Menurutnya, perintah daripada pihak mahkamah yang melarang Ariz mendekati Anna dalam jarak 100 meter bukanlah perkara mudah untuk diperoleh malah memerlukan bukti kukuh berhubung keselamatannya.

“Anda perlu membuktikan bahawa pertama, terdapatnya persoalan serius untuk dibicarakan. Kedua, ganti rugi tidak akan menjadi remedi yang mencukupi bermaksud pampasan wang tidak dapat memperbaiki kerosakan atau kemudaratan yang berlaku.

“Ketiga, keseimbangan kemudahan memihak kepada pihak pemohon. Jika seseorang memperoleh injunksi prohibitori, ia bermaksud Mahkamah berpuas hati bahawa kes mereka cukup kukuh untuk menghentikan tindakan pihak lawan sebelum perbicaraan.

“Jika seseorang memperoleh kedua-duanya, iaitu injunksi prohibitori dan Perintah Perlindungan Interim (IPO), ini menunjukkan bahawa Mahkamah yakin terdapat keperluan sebenar dan mendesak untuk melindungi hak serta keselamatan orang tersebut dengan segera,” ujarnya.

Terdahulu, kemelut hubungan anak beranak berkenaan mula hangat diperkatakan selepas Ariz memuat naik perkongsian mendakwa dirinya diiperlakukan seperti anjing kurap dan dihalau peguam Anna.

Ariz turut memuat naik gambar ketika berada di sebuah balai polis pada Ahad lalu dengan meluahkan rasa kesal apabila anaknya sendiri tergamak memohon perintah injunksi terhadapnya.

Baca juga: Anna Jobling dan ibu bergaduh besar! “Saya redha masuk penjara..”