Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memperkenalkan PRIME atau Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak sebagai inisiatif baharu untuk memastikan komunikasi tidak terputus ketika bencana, kecemasan, atau di kawasan tanpa liputan infrastruktur asas.
Menerusi PRIME, agensi penyelamat serta pihak berkuasa dapat berkoordinasi dengan lebih pantas sekali gus meningkatkan keberkesanan misi menyelamat dan penyampaian maklumat kepada masyarakat.
Selain bencana, sistem ini juga boleh dimanfaatkan bagi program literasi digital luar bandar, menyokong komuniti NADI, dan acara berskala besar yang memerlukan liputan tambahan.
Berikut soalan dan jawapan mengenai apa itu PRIME.
1) Apakah itu PRIME?
PRIME ialah singkatan bagi Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak.
Ia merupakan inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang dibangunkan untuk menyediakan kemudahan komunikasi moden semasa bencana, kecemasan, atau di kawasan yang tidak mempunyai liputan infrastruktur komunikasi.
2) Mengapa PRIME diperkenalkan?
PRIME diperkenalkan bagi memastikan kesinambungan komunikasi dalam situasi genting. Ia membantu agensi penyelamat, pasukan penguatkuasa, dan pihak berkuasa tempatan untuk berkoordinasi dengan lebih pantas, sekaligus meningkatkan keberkesanan misi menyelamat dan penyampaian maklumat kepada masyarakat.
3) Apakah teknologi utama yang digunakan dalam PRIME?
PRIME menggunakan gabungan pelbagai teknologi terkini, termasuk:
• Komunikasi satelit untuk kawasan tanpa liputan selular.
• Rangkaian selular (cellular network) mudah alih.
• Radio dua-hala (two-way radio) untuk kegunaan pasukan operasi.
• Wi-Fi hotspot untuk akses internet pantas.
• Drone bagi memperluaskan liputan dan menyampaikan maklumat secara terus di lokasi kritikal.
4) Apakah fungsi utama PRIME semasa bencana?
PRIME boleh digunakan untuk:
• Menyediakan rangkaian komunikasi sementara di kawasan terjejas.
• Menyokong operasi penyelamatan dan koordinasi agensi keselamatan.
• Menyalurkan maklumat sahih kepada masyarakat setempat.
• Membantu agihan bantuan kemanusiaan dengan lebih teratur.
5) Adakah PRIME hanya digunakan semasa bencana?
Tidak. Selain bencana, PRIME juga boleh digunakan untuk:
• Menyokong program outreach dan literasi digital di kawasan luar bandar.
• Menjadi platform sokongan kepada pusat komuniti digital NADI (National Information Dissemination Centre).
• Mengukuhkan komunikasi semasa acara berskala besar yang memerlukan sistem tambahan.
6) Apakah kaitan PRIME dengan NADI?
PRIME menyokong rangkaian NADI dengan menyediakan akses internet dan siaran maklumat bergerak, terutamanya di kawasan pedalaman. Ia membolehkan komuniti setempat mendapat maklumat tepat serta kemudahan komunikasi digital yang lebih baik.
7) Berapa banyak unit PRIME akan diwujudkan?
• Unit pertama telah dilancarkan untuk kegunaan di Semenanjung Malaysia.
• Dua unit tambahan sedang dalam perancangan dan dijangka beroperasi di Sabah serta Sarawak menjelang hujung tahun 2025.
8) Siapakah yang boleh menggunakan PRIME?
PRIME diutamakan untuk:
• Agensi penyelamat dan penguatkuasaan seperti NADMA, PDRM, Bomba, dan ATM.
• Agensi kerajaan negeri/daerah semasa bencana.
• Komuniti tempatan melalui program NADI untuk akses internet.
9) Bagaimana PRIME memperkukuh kesiapsiagaan negara terhadap bencana?
Dengan PRIME, Malaysia kini mempunyai infrastruktur komunikasi bergerak yang mampu digerakkan ke kawasan terputus rangkaian. Ini memastikan tiada jurang komunikasi, membolehkan tindakan lebih cepat, terancang, dan berkesan bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda.
10) Di manakah boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai PRIME?
Maklumat lanjut boleh didapati melalui:
• Laman web rasmi MCMC: www.mcmc.gov.my
• Emel rasmi: [email protected]
• Pusat Panggilan MCMC: 1800-188-030
Baca juga: Fattah Amin dan Amira sah menikah 14 september ini di Johor bahru