Isu guna iPhone 17, Hazwani Helmi akhirnya ‘buka mulut’

Oleh MALAYSIADATELINE

Tular di media sosial gambar pelakon dan aktivis kemanusiaan, Hazwani Helmi, yang dilihat menggunakan telefon pintar berjenama iPhone edisi terbaharu ketika menghadiri malam kemuncak Anugerah Bintang Popular ke-37 (ABP37).

Perkara itu mencetuskan pelbagai reaksi warganet, termasuk persoalan mengapa dia tidak memboikot jenama berkenaan.

Menjawab spekulasi tersebut, Hazwani tampil menjelaskan bahawa telefon pintar itu merupakan pemberian seseorang dan bukan dibeli menggunakan wangnya sendiri.

Jelas wanita berusia 28 tahun itu, dia menggunakan telefon berkenaan kerana perisian yang menyokong keperluan kerjanya, khususnya dalam penyuntingan video lapor Utusan Malaysia.

“Sebenarnya iPhone itu adalah pemberian orang dan saya tidak menyangka ia menjadi isu yang begitu besar. Tujuan saya memakainya pada malam itu adalah untuk meraikan majlis berkenaan.

“Kedua, telefon tersebut mempunyai ruang penyimpanan yang lebih besar.

“Saya menyunting semua video sendiri, jadi ia memudahkan urusan memuat naik kandungan dan kerja-kerja suntingan,” katanya dalam satu sesi siaran langsung malam tadi.

Jelasnya dia tidak teragak-agak untuk memilih jenama tempatan sekiranya ia hadir dengan perisian setanding jenama popular itu.

Malah dia menegaskan bahawa sumbangan dana kepada Israel bukan melibatkan satu jenama sahaja malah sistem android melakukan hal sama.

”Kalau ada perisian sebagus ini semestinya saya akan memilih produk lokal berbanding telefon ini.

“Apa yang terbaharu ingin saya kongsikan, sistem android juga merupakan antara penyumbang besar, dianggarkan sekitar 70 peratus.

“Perkara ini tidak boleh dibuat kesimpulan secara tangkap muat dan memerlukan perbincangan yang lebih menyeluruh kerana ia di luar bidang kepakaran saya.

“Mungkin isu ini boleh dijadikan satu kajian baharu,” jelasnya.

Baca juga: Elyana masih berjuang lawan kanser, ramai sebak tengok video anak cukurkan rambut