Seorang wanita bergelar isteri berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini apabila meluahkan rasa kesal dengan keputusan suaminya yang enggan menukar tempat kerja meskipun menerima gaji tidak setimpal.
Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Threads, wanita itu memaklumkan bahawa suaminya sudah lama berkhidmat di syarikat berkenaan sehingga berjaya memegang jawatan sebagai Ketua Jabatan (HOD).
Namun sayangnya gaji yang diterima suaminya langsung tidak setimpal dengan tanggungjawabnya iaitu RM2,000 tanpa caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Syarikat berkenaan juga mengalami isu pembayaran gaji sehingga wanita terbabit perlu menanggung komitmen rumah tangga namun suaminya tetap bertegas dengan pendiriannya untuk tidak menukar tempat kerja.
“Aku kecewa sangat. Umur aku baru 27 tahun, suami pula 35 tahun. Tetapi gaji aku sudah RM3,500 sedangkan suami masih RM2,000. Suami sudah bekerja 12 tahun di syarikat itu. Jawatan pula Ketua Jabatan Teknologi Maklumat (IT).
“Sudahlah tiada caruman KSWP atau PERKESO. Gaji juga selalu bayar lambat. Aku rasa penat sebab selalulah kena sediakan duit sendiri untuk lunaskan bil kerana takut gaji suami masuk lambat atau langsung tak dapat.
“Macam mana nak pujuk suami untuk menukar tempat kerja ya? Syarikat aku juga selalu minta bantuan dia untuk menjadi IT luar. Tetapi suami masih kasihan kepada orang bawahan dan syarikat kalau dia letak jawatan,” kesalnya.
Isteri terbabit juga berpendapat bahawa kerjaya suaminya boleh berkembang dengan lebih baik sekiranya bertukar tempat kerana mempunyai ilmu dan kemahiran meluas dalam bidang yang dikuasainya itu.
Dalam perkongsian sama, wanita itu menafikan dakwaan orang ramai bahawa suaminya menyembunyikan jumlah gaji sebenar kerana sudah memeriksa sendiri slip gaji dan penyata bank milik lelaki terbabit.
“Memang betul, gaji suami RM2,000. Malah gaji pokoknya RM1,800. Lebihan RM200 itu adalah elaun pengangkutan. Sumpah kecewa sangat. Pangkat HOD itu atas kertas sahaja. Hakikatnya dia boleh pergi jauh dengan ilmu yang ada.
“Suami aku normal, bukan ada masalah autistik. Cuma dia terlalu setia. Sekarang aku tanggung hampir 70 peratus komitmen. Nak bayar yuran daftar sekolah anak pun fikir panjang. Suami hanya kata, ‘adalah rezeki kita nanti’.” Ujarnya.
Baca juga: Isu guna iPhone 17, Hazwani Helmi akhirnya ‘buka mulut’