Kebiasaannya, penghantar makanan hanya menerima tip dalam jumlah kecil daripada pelanggan, ada yang langsung tidak memberi tapi ada juga menghulurkan sedikit sebagai tanda penghargaan.
Perkongsian seorang penghantar makanan atau ‘rider’ ini yang menerima tip beberapa not RM100 meraih perhatian ramai.
Menerusi TikTok, Muhamad Rafiuddin memuat naik video dia menghantar makanan ke sebuah rumah milik pelanggan dikenali sebagai Brandon.
“Rezeki tak salah alamat. Alhamdulillah tips paling besar pernah dapat sepanjang buat grabfood,” kongsinya di kapsyen video.
Usai mahu menyelesaikan tugas, Brandon memintanya untuk menunggu seketika kerana dia mahu memberikan tip kepada rider tersebut.
Sekembalinya Brandon, dia menyerahkan beberapa keping not RM100 atas alasan dia sudah mahu pulang ke negara sendiri dan tidak mempunyai masa untuk menukar mata wang tersebut.
“Ya saya akan pulang esok dan agak malas untuk semula mata wang,” ujar Brandon ketika ditanya penghantar makanann selepas melihat jumlah yang agak banyak.
Rata-rata pengguna media sosial menganggap bahawa rezeki memang milik penghantar makanan malah ada sempat mengusik rider tersebut akan bercuti lama.
Baca juga: Lelaki berjaya simpan RM650k, langsai hutang dalam tempoh 5 tahun jadi penghantar makanan